28 July 2011

Sambutan Hari Jadi - Taska

Hari ini diadakan sambutan Hari Jadi untuk pelajar-pelajar di Taska Nasyrah.
Happy Birthday to kawan-kawan Fina.

Layan je lah sesi bergambar Majlis pagi tadi.



Bergambar bersama teacher-teacher



Nyanyi lagu Happy Birthday:)


Fina bergambar bersama Nano. Kawannya di Taska.


Peace..






25 July 2011

Yummy!


Sedapnya Fina menikmati ChocoTop McD.
Sebenarnya mama Fina yang tiba-tiba nak makan aiskrim McD.
Nak cari Flavor Twist Green Apple, tapi tak ada.
Jadi beli Sundae Green Apple..
Masam tapi sedap:)

22 July 2011

Minggu 17

Minggu 17
Bayi
Anggota badan bayi kini terbentuk dengan sempurna. Deria rasanya juga sudah mula dibina. Bayi anda sekarang sudah mempunyai cap jarinya sendiri.

Anda
Pinggang ramping anda kini sudah menghilangkan dirinya. Yang tinggal hanyalah perut yang semakin membesar di samping kehadiran sedikit tanda rekahan pada bahagian tersebut. Selain perut, gusi juga mengalami sedikit gangguan. Gusi berdarah ialah antara masalah yang biasa.

20 July 2011

Menu Semalam


Menu makan malam untuk semalam

Masak asam pedas ikan pari + bendi + tomato
Sayur bayam goreng

Disediakan oleh
Chef mama fina

Untuk santapan
Baba dan Fina

Edit ~ Diari Mama

31 Julai 2011 tukar ke 5 Ogos 2011

Baba Fina ada program di ofis pada awal bulan Ogos. Jadi kami tunda tarikh balik ke Setiu ke 5 Ogos.
Insyaallah, akan pulang selama 5 hari ke sana.




*** tak boleh nak reply komen di blog sendiri mahupun blog lain ..masalah negara dari 3 minggu lepas..hu..hu..

19 July 2011

Diari Mama

Menghitung hari untuk sambut Ramadhan yang tinggal lebih kurang 2 minggu. Kali ini saya berazam nak memasak juadah berbuka puasa sendiri jadi kena tukar waktu kerja ke WP1 - masuk 7.30 pagi, balik 4.30 petang.

Diari mama bulan Julai dan Ogos ini:

29 Julai 2011
Lepas kerja nak balik ke Gemencheh, N9.

30 Julai 2011
Ayah dan umi buat kenduri tahlil dan sempena sambut Ramadhan

31 Julai 2011
Balik ke Setiu, Terengganu untuk sambut puasa di sana. Dah lama tak balik kampung abang. Kali terakhir balik masa Feb lepas. Seminggu berpuasa di sana.

Ogos 2011
Menambahkan amalan ibadat di bulan Ramadhan dan memasak juadah bersahur dan berbuka puasa dengan sedaya upaya (macam ikrar la pulak) dan harap-harap terlaksana. Kononnya tak nak beli lah..Kalau kuih-kuih tu, beli lah, tak sempat nak buat.




Zoo Negara

Alhamdulillah, saya semakin segar dan semakin sihat dari virus batuk dan selsema yang menyerang selama 2 minggu. Cuma batuk ada sikit-sikit lagi. Itulah nikmat kesihatan, baru kita rasa bersyukur waktu sihat apabila Allah memberi dugaan untuk kita menempuh kesakitan.

Bulan lepas kami ke Lembah Beringin. Mula-mula ayah dan umi ke Semenyih, dan kemudian kami ke rumah kakngah saya yang terletak di lembah. Hajatnya untuk menziarahi abang ipar yang mendapat sedikit kemalangan. Lagipun sudah lama kami tak ke sana. Tidur semalam, dan keesokkan paginya usai sarapan kami bergerak ke destinasi seterusnya.
Atuk bersama adief & fina.
Sempena Hari Bapa, saya berhajat nak bawa ayah ke ZOO NEGARA. Bukannya apa, sebenarnya saya yang tak pernah pergi sana. Pernah waktu zaman kecil ayah&arwah mak bawa saya dan kakngah ke Zoo Negara. Tapi tengok dari luar sahaja. Sebab tiket mahal, tak mahu membazir duit masuk ke sana. Kami pun tengoklah kepala zirafah dari tembok di luar zoo sahaja..hi2..tragis, sampai ke hari ni saya ingat. Tak sama dengan budak zaman sekarang kan. Setiap keinginan, jika ada kemampuan, akan diikutkan oleh ibu bapa.

Kami sampai ke Zoo Negara lebih kurang jam 9.30 pagi. Beli tiket untuk Dewasa Rm20 seorang, ayah dalam kategori warga emas RM9 dan Fina bawah 3 tahun masuk percuma. Pada pendapat saya, memang agak mahal harga tiket yang dijual. Jika dibandingkan dengan Zoo Melaka, bila masuk melawat di dalam Zoo Negara, rasanya Zoo Melaka jauh lebih cantik dan tersusun daripada di sini. Lain kali Fina dah besar sikit, kita ke Zoo Melaka semula seperti tahun lepas.

Layan gambar bersama atuk dan nenek:


Kali ini, tidak terlarat rasanya untuk berjalan ke semua tempat. Saya kepenatan. Cuaca pun nak hujan. Tempat terakhir ialah ke tempat kesukaan Fina. Bertemu mak & bapak gajah...

Rasanya saya tidak akan kesini lagi. Cukuplah sekali. Fina kalau nak pergi lagi, tunggu rombongan sekolah ya:)

18 July 2011

Ulu Yam ~ picnic unit

Layan dulu gambar-gambar makanan yang dibawa secara potluck oleh ahli-ahli picnic. Banyak sangat sampai tak termakan sebab kekenyangan tahap melampau:)

Antara menu barbecue - ikan bakar, ayam bakar, lamb chop, sosej, burger
dan yang dibawa - nasi kerabu, lemon rice, pasta, bihun goreng, sandwich, coleslow, jagung, tembikai, salad, rambutan, kek coklat, puding, keropok, air kotak.
Mana tak hongeh perut duk makan, banyak sangat makanan. Tapi makan ramai-ramai memang seronok.

Sabtu lepas, kami 1 Unit ke Ulu Yam untuk berpicnic. Di tepi air sungai, bermandi manda dan tentulah sambil makan-makan.

Dari kiri - En Parma, En Shafiq, En Nawawi, Cik Ira, Pn Azura, Cik Shu En, Cik Najwa, Pn Imah, Pn Alwani, saya, Kak Elly, Cik Jazilah dan Pn Norizan (bersama 2 anaknya). Masa ni meraikan sambutan Birthday Cik Shu En dan Cik Najwa yang lahir pada bulan Julai.
Inilah yang hadir pada hari tersebut, kami 1 unit 13 orang semuanya. Tak termasuk ahli keluarga lain yang turut serta.
Sambil lepak-lepak depan chalet, sambil makan. Yang lain bermandi manda kat sungai depan tu.

Ini budak yang sibuk sangat nak mandi ngai-ngai (sungai). Bila sampai, masuk kaki dalam air jer. Tak mandi pun. Duduk tepi sungai dengan baba jer lah. Pastu mama bagi hotdog dia makan 4 batang..Biar tak mandi, asal perut kenyang kan..hi2..

Lebih kurang 3.15 petang, kami berkemas-kemas untuk balik. Singgah pula ke Balakong untuk Sambutan Birthday anak member ofis Ita. Happy Birthday to Puteri:) Tahun depan buat besday dengan baby ye..

Ahad, hari berehat sepuas-puasnya. 1 hari suntuk duduk di rumah sahaja.

14 July 2011

Minggu 16

Minggu 16
Bayi
Bayi semakin kerap bergerak. Tubuhnya juga mula diselaputi lanugo iaitu rerambut halus. Tujuannya ialah untuk mengekalkan keseimbangan suhu badan. Jantina bayi juga sudah boleh diketahui semasa ultrasound dilakukan.

Anda
Pada saat ini anda sepatutnya rasa lebih segar, seronok dan gembira. Selera makan juga semakin bertambah. Anda mungkin dapat merasa pergerakkan
pertama bayi dalam kandungan. Akan tetapi pergerakan bayi anda tidaklah terlalu ketara. Pada masa yang sama, garis halus berwarna gelap di bawah abdomen yang dikenali sebagai linea niagra semakin menyerlah.
Tapi tidak pada saya. Virus selsema dan batuk berterusan hingga ke hari ini. Makan ubat macam tak ada kesan apa-apa pada tubuh. Alahai...letih dan lemah longlai rasanya. Masa mengandungkan Fina dahulu, tak lah kena selsema teruk. Paling lama pun 3 hari  dah pulih sepenuhnya. Kali ini, dah hampir 2 minggu tak kurang-kurang.

Saya ke Klinik Kesihatan Beranang semalam. Untuk pemeriksaan doktor. Dapat call dari Klinik Desa Rinching, minta datang terus ke Klinik Kesihatan Beranang kerana kat Klinik Desa doktor tak jadi datang. Keadaan dalam klinik seakan-akan klinik di Kampung Buloh, Setiu. Pernah datang ke sana sebab Fina dan saya demam masa balik ke kampung abang tahun lepas.

Lama menunggu, hampir 1 jam setengah duduk sahaja menunggu giliran yang agak perlahan bertukar nombornya. Saya tunggu nak masuk bilik No.3.


Kali ini doktor scan baby nak check samaada mengikut usia kandungan sebenar atau tidak. Alhamdulillah, bayi saya sihat dan usia kandungan mengikut minggu yang betul. Selainnya, pemeriksaan biasa dan saya minta ubat batuk untuk merawat batuk yang semakin teruk akhir-akhir ini. Selesai semuanya pada jam 4.50 petang. Hampir 2 jam jugalah menunggu. Memang beginilah kalau checkup di klinik atau hospital Kerajaan. Kita tidak perlu membayar satu sen duit pun untuk menikmati perkhidmatan yang disediakan, semuanya percuma, hanya perlu dibayar dengan kesabaran masa kita menunggu sahaja. 


Fina dah naik boring bila kena tunggu mama lama-lama. Lagipun saya lupa nak bawak bekal apa-apa untuk diminum atau dimakan. Rasanya lain kali, saya nak pergi seorang sajalah untuk checkup. Fina boleh duk rumah dengan baba ye!!

12 July 2011

Dinner


Ini menu makan malam semalam. Kari ikan tongkol dengan bendi dan sayur sawi goreng.Dimasak oleh baba Fina sebab mama Fina tak sihat. Dah agak lama abang tak turun ke dapur memasak sendiri. Selalunya, tugas memasak memang saya yang buat. Kalau rasa-rasa penyakit malas datang, makan kat kedai je lah.

First time abang masak kari ikan tongkol. Rasanya ok lah, boleh tahan. Cuma kurang garam. Tak boleh komen lebih-lebih, kene bagi sokongan. Mana tau, lepas ni boleh sediakan masakan yang lebih mencabar..hi2..apapun, terima kasih abang sebab tolong masakkan dinner semalam. Fina, lauk-lauk yang baba masak tak layan..Makan nasi + kicap jugak yang sedap ditekaknya:)

Salindah

Saya memasuki minggu ke 16 pregnancy. Kiranya sudah 4 bulan usia kandungan ini. Agak lama bertahan tanpa alahan, minggu ini saya dijangkiti virus selsema yang agak teruk. Bila dah selsema, automatik dapat batuk pula. Kali ini makan ubat pun, tak memberikan kesan apa-apa. Bertahanlah, cuma tak ambil mc lagi. Gagahkan diri untuk datang kerja.

Kali ini saya mengambil Set Salindah dari usia kandungan 12 minggu dan insyaallah sehingga selepas bersalin. Persediaan perubatan secara homepati. Bukannya apa, bila kenang-kenang semula kisah bersalinkan Fina yang agak 'fobia', saya cuba Set Salindah. Tapi sebenarnya, tak semua pengalaman bersalin adalah sama, ada yang mudah, ada yang susah. Tak kiralah makan apa pun, cuma kita berikhtiar sahaja.  
Pelbagai hasil testimoni yang saya baca di internet. Ada yang positif dan ada yang negatif. Bergantung pada keberkesanan dan cara pemakanan masing-masing. Bagi saya, masih terlalu awal untuk saya berkongsi kesan pengambilan Salindah ini. Baru makan botol B1. Itupun banyak lagi pil yang tinggal dalam botol tersebut. Macam tak luak pula. Lagipun pil nya saiz kecil sahaja. Seperti saiz pil vitamin c yang dibekalkan oleh klinik. Insyaallah, bila dah selesai dan selamat melahirkan anak kedua, saya akan memberikan testimoni berdasarkan pengalaman sendiri.  

 

05 July 2011

Pemeriksaan Antenatal

Agak lama saya tidak meng-update blog. Banyak perkara yang berlaku dan berlalu, cuma perasaan kurang rajin untuk menaip n3 baru. Bila ada mood, taip, bila malas, n3 baru pun hanya tinggal di dalam draf posting sahaja. Lama-lama jadi cerita basi, yang rasanya sudah tidak begitu teruja untuk dikongsikan.

Alhamdulillah, saya telah melalui trimester kedua bagi kehamilan kedua.


Minggu 15
Bayi
Tulang rangka bayi sedang giat berkembang. Kini, kakinya lebih panjang daripada tangan. Rambut pada kepala juga semakin menebal. Begitu juga dengan kening dan bulu matanya. Semua makin jelas kelihatan. Ketika ini, dia sudah boleh mendengar. Antara yang paling jelas didengarnya ialah suara anda selain daripada degupan jantung dan bunyi perut anda.
Ibu
Kuantiti darah yang mengalir dalam badan semakin banyak. Pada masa yang sama bayi juga perlukan oksigen. Oleh yang demikian, jantung perlu bekerja kuat. Jadi, tidak hairanlah jika ketika ini jantung anda kelihatan sedikit besar. Semua itu adalah untuk memastikannya mampu menjalankan tugas sebaiknya.

Kali pertama check di Klinik Dinamik di Taman Pelangi Semenyih bulan lalu. Ketika itu usia kandungan saya baru memasuki 6 minggu.

Setelah 15 minggu hari ini saya ke Klinik Desa Rinching tengah untuk membuat kad rekod kesihatan ibu. Sebenarnya dah pergi pada Khamis minggu lepas, tetapi di klinik ini pemeriksaan untuk ibu mengandung hanya pada hari Selasa sahaja.

Saya tiba seawal jam 8.15 pagi. Tak lah ramai sangat, cuma agak lama menunggu. Seperti biasa, cuma first time di Klinik Desa rasa lebih aman dan tidak bersesak jika dibandingkan waktu saya checkup di Klinik Kesihatan Kajang dan Klinik Kesihatan Putrajaya sewaktu mengandungkan Fina dahulu. 

Kaunter hadapan klinik. Check tekanan darah, berat dan tinggi di kaunter ini sahaja. Mudah, bilik untuk check darah, urine, tandas  dan pemeriksaan fizikal juga berhampiran. Kurang sikit pergerakan daripada klinik-klinik besar yang lain. Itulah antara kelebihan klinik desa bagi saya. Tidak terlalu besar dan tidak ramai orang.

Hari ini jururawat memberikan ceramah mengenai Anemia. Makanan yang perlu diambil dan dielakkan, punca / gejala penyakit serta rasa mengatasi.
Penerangan yang ringkas dan mudah difahami. Sambil-sambil tunggu, boleh menambahkan info.

Setelah menunggu lebih kurang 1 jam lebih, saya telah dipanggil untuk pemeriksaan tekanan darah dan pemeriksaan berat badan. Sedikit soalan dari nurse tentang apa-apa kompilasi sewaktu mengandungkan anak yang pertama dahulu, sejarah penyakit keluarga dan lain-lain soalan yang perlu untuk diisikan ke dalam buku merah ini.


Setelah itu, pemeriksaan air kencing dan ujian darah. Ujian darah bagi kepekatan darah dan juga HIV test. Tak habis lagi, dah ke dua stesen, ke stesen seterusnya dan terakhir.
Pemeriksaan fizikal dan nasihat kesihatan oleh jururawat. Kali ini nurse buat pemeriksaan PSP (pemeriksaan sendiri payudara).  Tujuannya untuk mengesan sebarang benjolan yang menyebabkan kanser payudara. Saya diberi sedikit penerangan tentang penjagaan ketika hamil dari segi pemakanan dan kesihatan. Seperti biasa, sebelum balik dibekalkan vitamin, asid folik dan zat besi.

Selesai semuanya pada jam 11 pagi.

Balik ke ofis, singgah ke UNITEN, terasa nak makan mee rojak dan cendol...
Bungkus je untuk lunch. Temujanji seterusnya  minggu depan, jumpa doktor pula.


************************************************************************************
Fina, dimana Fina?????
Fina saya serahkan kepada baba nya pagi tadi untuk dihantar ke taska. Saya seorang je ke Klinik. Cuma malam semalam saya dah pesan pada dia, esok baba hantarkan ke sekolah, mama nak pergi klinik check perut. Nanti petang balik mama jemput.
Pagi tadi, saya hantarkan sampai ke kereta, dengan bekalan sebotol lo (milo). Elok jer dia, siap lambai saya lagi. Fina dah besar kan, dah pandai dengar cakap mama.
Bila tanya mana baby, dia tunjuk perut dia. Kononnya kat perut dia pun ada baby macam dalam perut mama la tuh..hi2..


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails