30 May 2012

5 bulan


Menjaga anak kedua, bagaikan cepat sahaja masa berlalu pergi. Diam tak diam, dah genap 5 bulan si Fiqah saya. Lagi 26 hari sahaja untuk mencapai target pertama PENYUSUAN SECARA EKSLUSIF selama 6 bulan. Alhamdulillah, Fiqah masih fully bf. Stok susu pun mencukupi untuk bekalan hariannya. Saya hanya pam 2x di pejabat. Pukul 10.30 pagi dan 1.30 ptg. Masa tertakluk pada perubahan. Tapi saya cuba untuk pam pada waktu yang sama setiap hari agar signal yang diberikan pada otak adalah tepat bagi membolehkan susu keluar pada waktu tersebut. Begitulah teorinya, tetapi secara praktikal, hanya kita yang memilih untuk merealisasikannya.

Stok frozen EBM Fiqah telah saya gunakan bagi bulan April. Jadi stok sekarang nampaknya tidak perlu disusun semula memandangkan saya guna tidak lebih 3 bulan. Bekalan harian Fiqah sebanyak 5 botol. 4 fresh EBM yang dipam ketika di ofis dan 1 stok frozen EBM. Selalunya Fiqah minum 4 botol di taska, jadi yang tak habis sebotol saya akan jadikan stok frozen. Cuma bagi ibu bekerja, dinasihatkan untuk memberitahu pengasuh agar menggunakan dahulu stok frozen dahulu bagi mengelakkan pembaziran stok. Sudah tentu bila di rumah baby dah taknak hisap botol apabila direct bf dengan ibunya. Jadi jika stok frozen tidak digunakan dahulu, kenalah buang sebab akan expired selama tempoh 24 jam.
Stok frozen EBM Fiqah latest.

Pengalaman saya pula, jika susu Fiqah tidak sempat habis di Taska, saya akan campurkan dengan susu formula Fina bila dia nak menyusu. Jadi amat jarang pembaziran berlaku. Susu ibu diibaratkan sebagai titisan emas. Setiap titisan adalah berharga untuk dibazirkan. Jadi kita kena kendalikan stok susu dengan sebijak-bijaknya.

Ada lagi satu perkara yang ingin saya kongsikan. Sebenarnya bila kita menyusukan anak, masa itulah kita akan merehatkan diri daripada perkara-perkara lain. Bila bf, akan keluar satu hormon yang akan menjadikan kita relaks dan kadang kala kita tertidur bila menyusukan anak tanpa kita sedari. Saya begitu, bila bf Fiqah, rasa ngantuk dan tertidur sekali dengan Fiqah. Rasa tenang dan hilang tekanan bila bf.


Alhamdulillah, ucapan yang tidak putus-putus diucapkan kerana Fiqah menikmati dan membesar dengan sihat hanya dengan minum susu saya. Fiqah juga masih terpelihara daripada deman panas, cirit birit, kembung perut, muntah-muntah ataupun sakit-sakit yang merisaukan hati saya. Senang menjaga Fiqah. Tak apalah lambat meniarap, merangkak ataupun berjalan. Mama faham Fiqah badan bambam, agak berat untuk membuat aksi-aksi gerakan. Sama macam akak Fina dahulu. Agarkan Fiqah sihat, ceria dan tak meragam, mama dah cukup berpuas hati. Sampai masanya, Fiqah buatlah bila rajin ye;)

29 May 2012

Teman


Boleh dah bawa F&F bershopping ke Tesco tanpa babanya. Kebetulan barang dapur dah habis, jadi saya pergi ke Tesco Semenyih. Pergi hari Ahad sebab kalau pergi hari Sabtu, tak dapat plastik beg. Bf Fiqah sampai kenyang dahulu, baru pergi shopping.

Elok jer dia tak meragam. Akak Fina memang dah biasa ikut mamanya so tak ada masalah. Letak dua-dua dalam troli dan cari apa yang patut. Cukup 2 jam, balik rumah. Nasib baik ler tesco depan rumah jer. Bolehlah juga bawa F&F berjalan-jalan dan jadi peneman mama bershopping.

22 May 2012

Meniarap

Yeay!!!!Rasa sangat gembira sebab si bambam saya sudah mula meringankan diri untuk belajar meniarap. Minggu depan Fiqah akan genap 5 bulan. Jumaat lepas, bila dah kenyang bf Fiqah menunjukkan skills meniarapnya depan mama.
Mula-mula pusing badan ke kiri, bahagian kaki, peha dan punggung parking dahulu, barulah bahagian kepala pula. Lepas bahagian kepala, tangan pula lagi sebelah sangkut. Tak lama tu, baru lepas kedua-dua belah tangan.


Tapi Jumaat sekali jer dia buat, Sabtu Ahad langsung tak buat. Mamanya cuti, dia pun cuti meniarap. Terdampar jer. Nak ngiring pun agak malas. Samalah macam akak Fina nya masa zaman kecik2 dahulu. Alhamdulillah, Fiqah membesar dengan sihat. Masih terpelihara daripada demam. Selsema seperti biasa, kejap ok kejap kena. Maklumlah duduk taska, memang terdedah dengan virus selsema. Tapi dia tak mengamuk pun masa tidur. Waktu malam pun mamanya boleh tidur lena hingga ke pagi sebab Fiqah tak pernah lagi overtime masa tersebut.

21 May 2012

Teacher's Day, Mother Day, Birthday Party

Khamis lepas ada sambutan Teacher's Day, Mother's Day dan juga Birthday di Taska Nasyrah. Mama Fina tak sempat nak sediakan apa-apa potluck untuk jamuan kali ini. Hanya beli kuih muih di gerai depan Uniten untuk dibawa pada hari tersebut. Juga sedikit cenderahati untuk diberikan pada teacher-teacher Fina di Taska.

Fina sekarang suka pergi Taska.  Bila suruh tukar duduk taska dengan adiknya, terus jawab tak nak. Hari-hari ada sahaja lagu yang dinyanyikan. Eloklah, ada juga peneman saya pergi dan balik kerja setiap hari. Cakap masih pelat, kadang-kadang saya sahaja yang faham Fina cakap apa. Tapi boleh dah bina ayat sendiri. Fina dah tak pakai pampers sepenuhnya sekarang. Malam pun tidur dah tak terkucil.

Dan ini kad sempena Mother's Day dari Fina.

Cantik Fina buat corak background tu kan.



16 May 2012

Cik Fiqah

Cik Fiqah saya minggu ini sudah pandai demand. Bila ambil dari Taska, sampai rumah terus bf seperti biasa. Lepas itu bila saya tinggalkan dia, menangis pula. Kenalah baba ambil shif petang untuk pegang Fiqah sementara saya buat kerja rumah. Selalunya jadual pegang start pukul 8 malam. Sekarang jadi awal pula. Bila nak makan malam, siap berpangku baru dia senyap.
Mula-mula cembeng...


 
Tak lama kemudian...huwaaaaa......


Nak orang duduk melayan dia berborak, pegang dia, baru dia ontok. Kadang-kadang, Kakak Finalah yang tolong jadi nanny bila mama dan baba nak mandi atau solat. Kalau tidak, bergilir-gilir jaga dengan babanya.
Dah nak masuk usia 5 bulan Fiqah minggu depan. Tiada tanda-tanda untuk meniarap. Nak mengiring pun agak malas. Ada satu minggu awal bulan ini saya makan ketam. Naik merah-merah pada telinga, leher dan pelipat-pelipat yang ada pada badannya. Rasanya kulit Fiqah alahan terhadap seafood. Jadi, buat sementara waktu saya tidak makan ketam dahulu. Bila Fiqah dah besar sikit, baru boleh makan dan lihat samaada kulitnya alah lagi ke tidak.
Bila bf baby, sebenarnya kita boleh makan semua jenis makanan seperti sewaktu kita hamil. Cuma kena perhatikan samaada memberikan apa-apa kesan kepada baby seperti cirit birit, kembung, muntah ataupun alahan kulit. Sekiranya ada, tengok semula apa yang kita makan. Dan kurangkan pengambilannya buat masa terdekat. Bila dah lama sikit, cuba makan semula. Kalau baby ok, maksudnya bolehlah kita makan. Kena cuba dan lihat dahulu kesannya. Tapi walau apapun, baby yang minum susu ibu adalah sangat bertuah kerana boleh merasai semua makanan yang kita makan. Dan pengambilan makanan berkhasiat amat penting bukan sahaja ketika hamil atau menyusukan tetapi juga untuk kesihatan diri sendiri juga.
Rutin pengambilan makanan harian saya sama seperti ibu-ibu lain. Makan apa sahaja. Cuma waktu pagi saya amalkan makan 2 biji ostematrik shaklee dan sebiji kurma sebelum pergi kerja. Waktu malam pula 2 biji ostematrik lagi sebelum tidur. Selebihnya saya banyak minum air kosong dan makan buah-buahan serta sayuran. Cuma saya perhatikan, jika saya kurang makan nasi, susu akan kurang. Jadi sebagai ibu yang bf kadangkala corak pemakanan kita sedikit sebanyak mempengaruhi pengeluaran susu ibu.

15 May 2012

Air tangan

Saya menonton siaran Semanis Kurma di TV9 minggu lepas. Topik yang Ustazah Bahiyah bawa kali ini ialah tentang AIR TANGAN IBU. Kenapa walau dimana kita berada, jauh atau dekat, walaupun kita telah berumah tangga, kita masih rindukan masakan ibu. Setiap masakan yang ibu masak walaupun ringkas, tetap terpahat dihati dan sudah tentu paling sedap dan lazat di dunia. Tak tertanding dengan masakan yang lain. Saya akui semua itu.
Dan walaupun insan bergelar ibu itu sudah tiada lagi di dunia, saya tetap rindukan masakannya. Air tangan arwah mak yang dilimpahi dengan kasih sayang ketika masak. Masakan terakhir arwah mak ialah sambal sardin. Saya masih ingat lagi walaupun ketika itu saya baru berusia 12tahun. Mak adalah seorang chef yang paling hebat masakannya. Rajin buat kuih, biskut, kek serta memasak lauk pauk. Kalau berhari raya di kampung nenek, mak lah yang menjadi ketua chef antara adik beradiknya yang berkumpul. Semuanya mak sediakan. Rindunya saat ituL
Kupasan topik air tangan ibu dapat diringkaskan bahawa ibu memasak dengan ada roh di setiap masakannya. Setiap perlakuan ketika memasak dipenuhi rasa kasih sayang, ucapan selawat dan bismillah ketika mencuci sayur, menumis, mengacau dan menanak. Sentuhannya dikenali sebagai sentuhan ajaib kerana masakannya sentiasa rasa sedap walaupun hanya menggoreng sebiji telur. Memang benar apa yang dibincangkan dan beruntunglah kerana saya berpeluang untuk memasak untuk suami dan anak-anak saya. Mengenyangkan perut mereka setiap hari dengan air tangan sendiri memberikan satu kepuasan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Mudahan apabila mereka besar kelak, mereka akan rindukan air tangan mamanya ini walau dimana mereka berada.
Mei ini mengingatkan saya pada saat kehilangan seorang insan bergelar ibu. Al-Fatihah untuk arwah mak. Saya rindukan arwah mak, air tangan mak yang sempat membesarkan saya walaupun hanya dipinjamkan seketika oleh-Nya.

04 May 2012

Selamat Hari Ibu

mama f&f

Semalam Fiqah tidur hingga ke pagi. Tak sempat main-main pun dengan Fiqah. Lepas ambil dari Taska, bf Fiqah, terus dia tidur sampai ke jam 6.30 pagi tadi.
Tapi bangun 4-5x jugalah untuk bf.
Kuat betul anak dara saya ni tidur.
Saya suka hari Jumaat;) Sebab esok dah cuti. Jadi banyak masa dengan F&F 24 jam sehari.
Bukan apa, waktu siang bila kerja anak lebih banyak masa dengan pengasuh. Rasa sekejap sahaja masa berkualiti dengan keluarga.
Siapalah saya tanpa mereka disisi.


Selamat Hari Ibu yang bakal diraikan Mei ini untuk semua mak, ibu, bonda, mummy, mama.
Kita insan bertuah dan luar biasa hebat kerana bergelar seorang ibu yang tinggi darjatnya disisi Islam. Mari kita renungkan maksud tersirat dalam satu hadis yang selalu kita dengar dan baca.
Abu Hurairah radhiallahu 'anh berkata:
Seorang lelaki datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan bertanya:
“Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?”
Baginda menjawab: “Ibu kamu.”
Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”
Baginda menjawab: “Ibu kamu.”
Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”
Baginda menjawab: “Ibu kamu.”
Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”
Baginda menjawab: “Ayah kamu.”
Kenapa Rasulullah menjawab ibu sebanyak 3x? Jawapannya ada dalam diri kita sendiri. Fikir-fikirkan;)

02 May 2012

Eubos

Cik Fiqah saya telah pandai buat aksi menumbuk ke kiri dengan kiraan 5 kali berturut-turut. Practise untuk ringankan badan meniarap agaknya. Itupun kalau rajin, sama macam Fina masa kecil. Suka terlentang sahaja dan kadangkala buat aksi kuak lentang. Tak apalah, asalkan Fiqah ada 'usaha' di situ. Gambar tidak jelas sebab Fiqah tengah buat gerakan senaman ke kiri dengan pantas.


Juga kuat hisap jari. Kadang-kadang sampai 4 jari masuk dalam mulut. Cuma Fiqah tak kuat muntah. Bila terjolok anak tekak, dia berhenti hisap jari. Tak lama kemudian, masuk jari semula. Kalau orang tua-tua nampak, mesti dia cakap anak saya lapar. Suruh bagi makan. Nasib baik zaman sekarang ramai yang telah terdedah dengan saranan bf baby hingga usianya genap 6 bulan, tanpa diberi air kosong atau makanan tambahan yang lain. Kalau tidak, ramailah bayi yang belajar hisap jari diberi makan.


Disebabkan kesan merah-merah pada pelipat leher, ketiak, telinga dan betis Fiqah masih belum hilang, jadi saya cari juga mandian jenama EUBOS untuk Fiqah. Mulanya nak cari jenis losyen agar senang nak sapu pada bahagian tersebut. Tapi tak ada di Guardian. Jadi saya beli mandian sahaja. Baru guna semalam. Cepat juga kesannya, kurang sikit merah pada badan Fiqah. Hariini pesan pada pengasuh agar mandikan Fiqah guna Eubos. Lepas mandi tak payah sapu losyen atau bedak biar kulitnya cepat pulih. Nak buat macamana, dah badan bambam. Banyak lah pelipat yang merah sebab peluh.

Inilah rupa EUBOS itu. Bagi yang ada mempunyai masalah kulit bayi yang jenis kuat alahan, saya syorkan guna jenama ini.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails