27 June 2012

Perubahan


Dua hari berturut-turut Cik Fiqah saya ini bangun pukul 3 pagi dan berjaga hingga ke jam 4.30 pagi. Fiqah tak menangis, duk main-main seorang, bila saya tengok, dia dah bergerak dari tempat asal saya letak dia. Lasak betul, walaupun dengan hanya mengerak-gerakkan kaki dan tangan boleh bertukar posisi. Sedar jer, dia dah kat bawah kaki saya. Patutlah cari kat sebelah tak jumpa.
Secara automatiknya juga, sebagai ibu bila anak tak tidur kita pun tak boleh tidur nyenyak. Buat pertama kalinya saya overtime di keheningan pagi sebelum subuh. Masuk usia 6 bulan, Fiqah banyak melakukan perubahan yang agak ketara jika dibandingkan sewaktu awal-awal bulan kelahirannya dulu. Mungkin juga Fiqah sudah mula mengenali, memahami dan inginkan perhatian daripada orang yang dikenalinya dan tentunya dari insan paling rapat iaitu mamanya.
Fiqah makin rajin bf setiap 2 jam sekali di waktu malam. Kalau dahulu, dia bf kenyang-kenyang sebelum tidur dan akan bangun di pagi hari. Satu perubahan yang saya suka kerana boleh menambahkan demand dan supply bagi penghasilan susu ibu. Dan rahsia untuk berjaya fully bf selama 2 tahun ialah jangan skip dari menyusukan baby di waktu malam. Kalau dah tidur, memang susah nak bangun untuk pam susu. Jadi lebih baik direct bf sahaja.
Apa yang dia paling minat ialah mamanya duduk/baring disebelahnya setiap masa. Tak payah buat kerja lain selagi dia belum tidur. Lagipun Fiqah memang tak tidur buai. Jadi bila saya baring-baring dengan dia, dengan saya sekali yang tertidur. Fiqah dalam perubahan bertukar ke satu fasa lain untuk membesar. Begitulah kerenah anak, dan tentunya sama juga ketika zaman kita kecil dahulu. Apa sahaja perubahan, perlakuan dan tingkah laku dilayani dengan sabar oleh mak dan ayah kita.

25 June 2012

Stage 6 bulan


First stage COMPLETE!

Genap 6 bulan bf Fiqah. Pengalaman yang agak santai dan kurang cabarannya jika dibandingkan tempoh menyusukan Fina dahulu. Mungkin pengalaman pertama yang dilalui memudahkan saya untuk meneruskan bf Fiqah pula. Alhamdulillah, susu saya masih mencukupi untuk bekalan dan dijadikan stok harian Fiqah.

Tapi target untuk penyusuan secara EKSLUSIF tidak tercapai kerana pengasuh Fiqah telah beri Fiqah bubur nasi 2 minggu sebelum genap Fiqah berusia 6 bulan. Susah sebenarnya nak capai tahap EKSLUSIF. Tentunya tanpa bantuan dan sokongan orang lain, tentulah mustahil untuk menggapainya. Tapi sekurang-kurangnya saya berpuas hati kerana Fiqah makan setelah usianya 5 bulan lebih. Penyusuan secara ekslusif ialah bayi tidak diberi air kosong, atau makanan pelengkap sehingga usia 6 bulan, hanya minum susu ibu sahaja. Jika ibu yang pro-bf tentu akan rasa terkilan jika tidak berjaya mencapai tahap ekslusif, kerana mereka tahu bukan mudah untuk mencapai tahap itu. Begitulah, kita hanya berusaha. Selebihnya, jika bukan di pihak kita, mungkin timbul cabarannya di pihak lain yang menjaga anak kita. Tapi tidak timbul isu saya salahkan sesiapa, sekadar berkongsi coretan sebagai ibu yang sangat optimis dalam penyusuan susu ibu. Apapun, syukur Fiqah membesar dengan sihat dengan susu ibu sahaja.
Bekalan harian susu Fiqah masih kekal sebanyak 5 botol sehari. Cuma minggu ini Fiqah start solid food, jadi mungkin stok ebm ini tidak habis diminum. Saya bernasih baik kerana tidak perlu sediakan makanan untuk bekalan Fiqah di taska. Pihak taska sediakan bubur untuk baby. Jadi kurang sikit kerja di rumah. Mungkin saya akan sediakan puri sebagai tambahan bila Fiqah pandai makan nanti.

Ini gadjet terbaru saya ~ Autumz cooler beg. Harganya pun amat berpatutan. RM15.90 sahaja di OneBabyWold. Saya gunakan untuk bawa EBM Fiqah ke taska. Senang sedikit sebab ada tali penyandang, sebelum ini saya guna bekas tupperware sahaja. Asyik nak masuk dalam plastik. Bila guna cooler beg ini, saya letakkan sekali icepack di bahagian atas botol untuk memastikan EBM kekal sejuk sebelum sampai ke taska.
 

Suka-suka-suka cooler beg ini. Ini cooler beg ketiga saya setelah gunakan cooler beg MLO yang saya bawa setiap hari ke ofis dan juga cooler beg Medela yang tidak digunakan sebab muatannya hanya muat 4 botol susu sahaja. Cantik, ceria dan dibeli dengan harga yang amat berpatutan.

Stage kedua bermula sekarang ~ penyusuan susu ibu hingga usia Fiqah 1 tahun.
Moga sentiasa dipermudahkan-Nya. Amin

F&F

Alhamdulillah, diberikan kesempatan bernafas di bulan Syaaban bulan persediaan sebelum masuknya bulan Ramadhan. Masih diberi peluang untuk hidup bersama insan-insan tersayang, dipinjamkan oleh-Nya nikmat yang seharusnya kita syukuri tiap masa. Moga amalan kita makin bertambah dari hari-kehari. Amin.
Hari ini Fiqah genap 6 bulan, Fina pula sudah berusia 3 tahun 6 bulan. 2 orang puteri yang bertahta dihati saya dan abang. Penyeri dan penghubung kasih kami berdua. Makin membesar diiringi peredaran masa.

Fina
Makin bijak berkata-kata. Membina ayat walaupun dengan longhat pelat Perak nya.
 Tidak tahu tang mana yang dia boleh cakap style Perak, padahal babanya asal pantai timur, saya pula nogori. Makin pandai memprotes. Saya pernah terbaca, kanak-kanak berusia 3-4 tahun ialah waktu mereka sedang belajar untuk memberontak. Mahu kita turuti segala kemahuannya. Dan tentunya memerlukan kesabaran yang tinggi dalam melayan kerenahnya setiap hari. Tapi yang peliknya, kalau Teacher suruh, boleh sahaja ikut tanpa banyak ragam.
Jadi teman berborak saya setiap pagi dan balik kerja. Makin fasih bercakap dan memberi respon apabila ditanya.

Fiqah
Pandai merengek bila tak nak pegang dia. Waktu balik kerja hingga ke malam, tempoh yang dia nak saya layan dia. Bila tinggal, menangis. Bila saya bangun, menangis. Camno nak masak.Nak sentiasa dekat dengan saya. Mungkin dia dah tau jadualnya bila petang, tinggal beberapa jam sahaja saya ada disisinya. Pagi-pagi dah dihantar ke taska. Malam dah tidur. Petang sahaja masanya bermanja-manja dengan mama puas-puas.

Belum rajin untuk meniarap. Minggu lepas kerap Fiqah tidur mengiring. Dan Isnin dengan Selasa Fiqah kurang menyusu. Naik bintik-bintik kecil. Saya ingatkan campak, tapi cepat sahaja hilang. Rasanya alahan sebab saya makan seafood lagi. Ada ulser sikit di dalam mulutnya. Itu yang tak nak menyusu.

Kena sakit mata Jumaat lepas. Mula-mula sebelah mata, kemudian dua-dua belah. Bawa ke Klinik dan diberi ubat sapu dan titis dalam mata. Alang-alang ke Klinik, dikhatankan sekali Fiqah. Asyik bertangguh sahaja, dan nak masuk 6 bulan baru selesai urusan khatankan nak dara saya ini.

 Cik Fiqah bermata sepet, jadi makin sepet bila bengkak sakit mata.

13 June 2012

Program Galakan Membaca

Jumaat lepas ada Program Galakan Membaca sempena musim cuti sekolah. Jadi, saya bawa Fina naik ke ofis untuk join aktiviti-aktiviti yang diadakan di dewan.  Seronok dan gembira Fina. Sampai nak suruh turun ke taska pun dia taknak.

Antara aktiviti ialah Pertunjukan Boneka daripada Kumpulan Kelip-Kelip DBP.
Menari chicken dance, menyanyi, mewarna dan macam-macam lagi.


Masa main dam, terasa Fina dah makin pandai berdikari. Dia baling dadu dan angkat kon tanpa perlu bantuan saya. 


Dah selesai makan tengahari, saya hantar Fina semula ke taska untuk tidur. Kalau ikut saya ke ofis, memang jawabnya tak tidurlah hingga ke petang.

11 June 2012

Abah

Kesempatan balik ke n9 saya balik juga ke kampung nenek di Melaka. Menjengah dan menziarahi atuk dan nenek yang semakin uzur dimamah usia. Saya pun dah memasuki usia 30an, sudah tentulah mereka makin berusia daripada ayah. Alhamdulillah, dipanjangkan umur mereka melihat cicit-cicit membesar pula.
Sejak kecil saya panggil nenek sebagai mak, dan atuk pula sebagai abah. Kali ini saya  nak kongsikan kenangan bersama abah. Dahulu kalau cuti sekolah, saya selalu tinggal di kampung. Ikut abah naik motor, pergi kedai, pergi rumah moyang di baruh, jalan-jalan di kampung. Ada satu ketika, semasa dalam perjalanan ke rumah moyang (mak abah), motor yang abah pandu terbabas di titi kecil depan rumah moyang. Jatuh kami berdua dalam paya, tenggelam dan timbul semula saya. Nasib baik tidak ada apa-apa. Tolong cabut uban guna padi, dapat upah 20sen. Pijak belakang abah. Kalau saya tertidur depan tv, abahlah yang tolong angkatkan letak atas tilam. Ada satu masa, saya buat-buat tidur, abah angkat, saya tergelak dan bangun. Betullah kata orang, atuk dan nenek sayangkan cucu lebih daripada anak. Kalau dengan anak, garang. Jangan harap nak dapat atau minta apa-apa. Kalau cucu nak, selagi daya, atuk dan nenek belikan.

Abah dah beberapa kali masuk hospital. Sakit kaki, pengsan, sakit chigukunya. Tapi abah sihat semula, walaupun jalannya agak perlahan kerana sebelah kaki bengkak. Abah terkenal di kampung sebagai tukang masak lauk kenduri. Namun balik kali ini, amat tersentuh hati saya melihatkan badan abah yang semakin kurus. Wajahnya yang makin cengkung. Berjalan dengan bantuan tongkat, susah untuk bangun. Bekalan ubat sebekas besar untuk ditelannya. Tiada daya lagi untuk ke surau setiap hari yang dulunya menjadi rutin wajibnya 5 waktu sehari. Kebetulan masa saya di kampung, ada wakil ajk surau yang datang membawa surat jemputan majlis Israq Mikraj. Terdiam abah tanpa mampu mengeluarkan kata-kata kerana dia sudah tidak mampu ke surau lagi. Terdetik di dalam hati saya, rupanya ramadhan tahun lepas, ialah ramadhan terakhir abah dapat naik motor sendiri ke surau setiap malam. Apalah dayanya lagi dengan pergerakannya yang makin terbatas sekarang. Menjadikan diri saya teringat lirik lagu raihan 5 perkara,

  ingat lima perkara...
sebelum lima perkara...
sihat sebelum sakit...
muda sebelum tua...
kaya sebelum miskin...
lapang sebelum sempit...
hidup sebelum mati...

Waktu nak balik, saya  salam abah, saya kucup pipi abah. Saya berikan apa yang termampu untuk meringankan beban abah. ‘Abah, ambil ini untuk beli ubat ye’, kata saya. Abah nak angkat tangannya pun tidak mampu. Berampu tangan kirinya dibawah. ’Terima kasih lang’..itulah ucapan abah dengan nada yang perlahan. Tertunduk abah menahan sebak. Sungguh, sangat tersentuh dan bergenang air mata saya. Saya tidak sanggup menoleh abah, saya tidak mahu abah lihat air mata saya. Agak beremosi saya pulang ke kampung kali ini. Berjurai air mata di dalam kereta.
Melihatkan keadaan abah yang makin dimamah usia menyedarkan saya, bahawa inilah kitaran kehidupan dan sesungguhnya semua yang kita miliki di dunia hanyalah pinjaman dari-Nya. Dikala kita dihujung usia, kita tidak harapkan harta benda duniawi, cukuplah sekadar kasih sayang dan insan-insan yang sudi menziarahi dan bertanyakan khabar kita. Itu sudah cukup untuk membantu memulihkan semangat kita menghadapi hari-hari seterusnya. Percayalah, bukan wang ringgit yang mereka harapkan, cuma jika dapat melihat anak, cucu, cicit itu sudah memadai untuk mengembirakan hati mereka. Kerana kita semua tidak tahu, bagaimana pengakhiran kehidupan kita sebelum mengadap-Nya dan masih adakah lagi peluang untuk kita melihat mereka tatkala kita masih lagi bernafas di dunia ini. 

Kenduri veteran


Berlalu sudah musim cuti sekolah. Musim jemputan kenduri kahwin sana sini. Semalam saya ke Kampung Dato’ Harun. Mulanya balik ke kampung saya di n9 hari Jumaat. Abang kena kerja minggu ini. Jadi Sabtu petang dia terus ke PPA, Jelebu. Cadangnya hari Ahad ayah tolong hantarkan saya balik ke Semenyih. Tapi tak jadi, abang datang jemput Ahad pagi.  Kawan-kawannya di PPA tak jadi berkonvoi.
Cari punya cari, dekat jam 2.30 petang baru sampai ke rumah kenduri. Lepas salam tuan rumah, terus kami bersantap. Perut tengah lapar, dua kali menambah. Saya tanya juga pada abang, mana kawan abang? Tak nampak dari tadi. Dia kata, mungkin dalam rumah. Saya pun spontan kata, pengantin buat outdoor photoshoot kot. Kebetulan si Fiqah terberry, jadi saya tumpang guna bilik air. Tengah pakaikan drypers Fiqah, saya tanya dengan budak-budak yang sedang usik-usik Fiqah. Mana pengantin dik? Budak tu selamba je cakap, ‘nenek tu lah pengantin’…..Terus saya keluar, tengok nombor rumah. Betullah no. 11. Tanya abang, kita ni makan rumah kenduri betul tak? Sedap je abang tengah menikmati bubur kacang sebagai dessert.  Saya cakap, macam dah salah rumah jer. Kami bawa kad jemputan, tunjukkan pada seorang makcik yang duduk di situ. Katanya, alamat tu, lorong lagi satu. Khemah warna putih kelabu. No. rumah kawan abang tu No.11A. Belakang je lorongnya. Ha2…
Tak tergambar dengan kata-kata tebalnya rasa muka masa itu. Nasib baik perut dah kenyang. Jadi makcik tu beritahu pengantin tadi, diapun datang . Katanya tak apalah. Dah tersalah, nak buat macamana. Bukan sengaja pun.Saya minta maaf  banyak-banyak padanya. Terus panggil makcik tu akak. Salam kaut sempena meraikan majlisnya.  Dia siap bagi doorgift pada Fina. Patutlah masa datang, salam dengan dia, dalam hati saya cakap, kenapa mak pengantin ini macam over jer. Siap pakai inai 10 jari, pakai tudung siap ada selendang berjurai di belakang. Rupanya, memang dialah yang jadi pengantinnya. Pengantin veteran.
Abang pun sangat confident rumahnya betul sebab masa kami baru sampai, dia terserempak dengan kawan satu ofis juga. Kawannya keluar dari lorong yang sama, mungkin dia parking di belakang. Jadi haluan lorong yang berbeza.  Dan ada lebih kurang 4 rumah kenduri masa tersebut. Makcik tu cakap, minggu lepas lagi banyak. Kami pun  memang tak biasa dengan kawasan Kampung Dato’ Harun.

Kalaulah makcik tu terbaca coretan saya ini, mohon maafkan kami sekeluarga. Kami doakan makcik berbahagia hingga ke akhir nyawa. Dah rezeki kami makan kat rumah makcik masa hari bahagia makcik. Tapi lauk di rumah makcik, memang sodap;)  
Pengalaman yang lucu, dan buat pertama kali dalam hidup saya, datang kenduri salah rumah.  Abang sayang, lain kali kita pergi kenduri, jumpa pengantin dulu ye, baru kita makan kenyang-kenyang;)

07 June 2012

Checkup 5 bulan

Rabu lepas ke Klinik Desa Rinching untuk temujanji checkup Fiqah 5 bulan. Timbang berat, ukur tinggi dan juga suntikan di pehanya yang gebu. Fiqah dah 7.5 kg. Seperti biasa, peningkatan berat yang cantik grafnya setiap bulan. Tinggi dah 65cm.
Perkembangan 5 bulan:
  • Dah pandai suruh pegang dia. Menangis bila tak layan dia.
  • Agak 'kurang gerakan' untuk meniarap.
  • Dah buat bunyi-bunyian baby. aaaaa---thathatha--abebhebhe--
  • Suka hisap jari.
  • Kuat tersenyum dan tergelak.
  • Angkat kepala bila letak dalam stroller.
Lepas cucuk, malamnya badan Fiqah agak panas sedikit. Kat tempat cucuk tu pun rasa keras.Saya sapu vicks. Fiqah macam Fina masa baby, tak suka makan ubat. Kebetulan ubat klinik kali ini pahit, jadi dia tak minum banyak. Minta abang belikan ubat demam lain. Alhamdulillah, tak jadi demannya. Lepas habis cuti di Terengganu, hantarnya ke Taska hari Selasa, petangnya Fiqah demam. Kali ini agak panas, dan inilah demam pertamanya sejak Fiqah dilahirkan. Bagi ubat, letak tuala basah, dan Fiqah makin sihat paginya. Cuma sekarang Fiqah kena batuk.
Apabila Fiqah demam, saya bekalkan lebih fresh EBM dan frozen EBM saya akan pesan pada pengasuhnya guna apabila stok fresh dah habis. Maknanya, gunakan fresh EBM agar antibodi yang terdapat dalam susu tersebut dapat membantu ketahanan badan Fiqah untuk melawan demam. Dan ajaibnya susu ibu, bila saya menyusukan Fiqah masa badannya panas, saya dapati suhu badannya akan turun sedikit bila dia sedang bf. 2-3 hari ini Fiqah batuk. Jenis batuk tak lepas sebab Fiqah susah nak muntah. Kalau dia muntah, cepat sikit sembuh batuk sebab keluar lendir dan kahak. Cuma bagi ubat batuk dan juga air gula batu yang dicampurkan dengan bunga belimbing dan diembunkan semalaman. Ikut petua dari nenek. Dan yang rajin menyuapkan ubat, tentulah babanya.

Balik Terengganu

Cuti sekolah hampir berakhir, dan mood menaip n3 pun agak ke laut kebelakangan ini. Sempat juga pulang ke Terengganu minggu lepas. Kali ini tak pergi mana-mana pun. Hanya pergi kenduri kahwin di Manir dan berjalan-jalan di pasar tani Kampung Buloh. Lagipun kami tidak bercuti lama dan tidak bercadang ke bandar ataupun naik ke Kelantan memandangkan musim cuti sekolah. Kalau shopping pun susah minta tawar kerana harga barang agak mahal bila ramai pengunjung. Saya, tak habis-habis bab shopping sahaja di kepala kan.

Dan laluan Lebuhraya Pantai Timur berhampiran Setiu telah siap. Tol masih percuma dan kawasan R&R masih dalam pembinaan. Jadi tidak lalu kawasan bandar dan Kuala Berang lagi. Maka amat tipis peluang berjalan-jalan di bandar Terengganu apabila highway LPT itu telah abang gunakan untuk pulang ke kampung. Beli keropok keping dan keropok lekor pun kat tepi jalan on the way balik ke KL. Sodih;)

Balik kali ini, mak mertua saya sibuk berbisnes di Dataran Langkap. Bisnes utamanya ialah buah-buahan dan sampingan beberapa makanan ringan atau apa sahaja yang sesuai untuk dijual. Jadi abang agak sibuk untuk membantu mak mendapatkan bekalan buah-buahan di sekitar kampung. Fina bila tanya nenek jual apa. Dia jawab nenek jual watermelon.hi2..

Baba F&F di depan gerai mak.

Fina seronok sangat balik kampung. Sampai tak tidur siang. Kebetulan mak saudara dan bapa saudaranya ada juga di kampung. Rajinlah melayan Fina. Fiqah pula, seperti biasa. Tidak banyak ragam. Cuma batuk sikit-sikit sebab cuaca agak panas di sana.

Mama F&F di rumah kenduri kahwin di Manir, Terengganu. Dengan adik-adik ipar dan juga akak ipar. Possing depan pelamin.


Insyaallah, kami akan pulang ke kampung pada Aidilfitri akan datang pula. Tahun ini turn raya di Terengganu.




Nursing Cover

Antara gadjet penyusuan yang agak diminati oleh ibu-ibu ialah baju menyusu dan nursing cover. Ini antara pilihan sedia ada bagi memudahkan aktiviti penyusuan dilakukan di mana-mana sahaja tanpa perlu mendedahkan aurat di tempat umum.  

Antara koleksi baju menyusu saya telah beli daripada Autumz dan juga baru-baru ini saya telah cuba menggunakan nursing cover yang saya beli dari Big Eyes dan Makcik Rehan. Harganya pun berpatutan. RM35 ke atas mengikut jenis kain dan design yang kita tempah.

Ini contoh NC yang saya tempah daripada Makcik Rehan dan dijahit khas oleh Kakngah.
NCM01 - gambar strawberry.


Kalau ada yang berminat dengan aksesori tambahan NC sebagai melancarkan perjalanan penyusuan untuk simanja walau dimana berada, bolehlah contact Rehan melalui emel seperti di dalam gambar atau boleh jenguk ke blog beliau.  

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails