19 September 2012

Stok EBM kurang????

Stok frozen EBM setakat Sept 2012

Hampir genap 9 bulan usia Fiqah. Dan hampir KURANG stok frozen EBM dalam peti ais. Bekalan harian Fiqah di taska masih kekal sebanyak 4 botol sehari. Walaupun Fiqah makan 3 kali di taska, namun susu yang dibekalkan, tetap dihabiskan dengan jayanya. Seperti biasa, bila anak dah start makan, susu yang dipam setiap hari akan berkurangan secara semulajadi. Ini berlaku pada diri saya. Kalau dulu dapat 4-5 botol sehari, sekarang hanya 3 botol sehari.
 
Memandangkan bulan puasa tempoh hari saya telah menggunakan stok frozen EBM tanpa 'refill' semula stok baru, jadi stok memang sangat-sangat kurang. Mula minggu lepas saya berusaha untuk menjadualkan semula dan merajinkan diri mengepam di malam hari. Cukup untuk refill satu botol sehari, maka stok akan sentiasa ada dan dapat dijana dengan baik pengendalian masuk dan keluarnya. Percubaan mengepam di waktu malam hari sewaktu anak-anak dan suami tidur dengan lenanya ialah cabaran utama untuk saya yang memang tak minat berjaga malam mengepam susu. Tapi sebab nak bekalan susu mencukupi dan berada dalam keadaan selamat, saya gagahkan juga. Percubaan pertama menunjukkan hasil menghampakan. Dapat 1oz sahaja. Nampak sangat mindset nak tidur, mana lah susu nak keluar.
 
Kemudian, percubaan diteruskan pam sebelum tidur jam 10 malam. Cuma kadang-kadang bila dah Fiqah tersedar saya tiada, dia akan menangis. Jadi susah untuk tumpukan pada proses pumping. Minggu ini saya cuba untuk pam jam 5.30 pagi. Perubahan yang berkesan dan boleh diamalkan. Lagipun masa tersebut Fiqah dah kenyang menyusu dan saya boleh terus bangun pagi untuk bersiap ke tempat kerja pula. Sekurang-kurangnya saya kena dapatkan sebotol sahaja untuk refill stok yang sedia ada. Alhamdulillah, berjalan lancar setakat ini. Dan harapnya susu dan bekalan susu mencukupi untuk Fiqah.  

Fiqah tinggal 1 tahun 3 bulan lagi untuk capai target fully bf dengan mama.
Mungkin juga dengan kemeriahan juadah hari raya, open house raya, jamuan ofis raya, saya terlupa untuk makan makanan yang memperbanyakkan susu. Jadi, makanan seharian perlu dijaga untuk mengekalkan pengeluaran susu. Dan teringin untuk berurut  agar urat-urat susu melancarkan peredaran susu dalam badan. Nak kena cari tukang urut selepas ini.
 

18 September 2012

Gigi Sulung


Kongsi gambar mulut sedikit terbuka memberi maksud yang Fiqah dah tumbuh gigi sulung! Memecahkan rekod akak Fina yang LAMBAT ada gigi. Ha2..Baru tumbuh sebatang gigi belah bawah. Patutlah kuat gigit. Rupanya gusi gatal. Mamanya merasakan pengalaman bersama anak kedua begitu cepat berlalu pergi jika dibandingkan dengan pengalaman membesarkan anak pertama. Namun setiap 'moment' itu ingin diabadikan di dalam ingatannya.

Merangkak

Fiqah sudah laju meniarap ke hadapan dan juga minggu ini rajin practise merangkak. Dapatlah 2-3 kali gerakan. Bila saya ke dapur, sekejap sahaja dia dah sampai ke meja makan nak cari saya kat dapur. Semalam akak Fina nya yang jadi jurulatih Fiqah.

Fiqah cepat, Fiqah cepat.
Lagi sikit Fiqah, cepatlah baby. Sambil tepuk tangan.
Sikit lagi baby, yeay! Dah sampai pun. Pandai baby. Pandang mama, mama tangkap gambar tu.
Adiknya buat tak tahu je bila akak Fina suruh pandang mama. Gambar ditangkap masa Fiqah dah dekat dengan akak Fina. Adalah jarak setengah meter Fiqah berlatih dengan akak Fina. Fina pula sibuk nak pakai bip kat leher, sebenarnya nak bagi Fiqah pakai masa suap bubur makan tengahari. Fina yang duk menangis nak pakai kat leher dia. Mungkin dia tak ingat masa kecil dahulu dia ada pakai bip waktu makan. Tapi masa itu, tak ada orang nak berebut kan.
Lepas ini, kena rajin moop lantai sebab kalau mamanya tak buat, Fiqah lah tukang moop lantai dengan seluarnya.



13 September 2012

Fina Beraya dan Bergaya

Minggu terakhir Syawal tahun ini. La, baru rasanya beraya, dah sampai ke penghujung Syawal rupa-rupanya. Masih dalam mood raya hingga tiada masa untuk menaip n3 baru. Beberapa jemputan perlu dipenuhi, begitu juga mengunjungi kawan dan sanak saudara yang harapnya masih sempat diselitkan masa untuk bertemu.

Bila ada anak perempuan, tentunya rasa seronok untuk memakaikan pakaian yang ala-ala cantik dimata sendiri. Lebih-lebih lagi, kalau anak tu dah pandai melawa. Fina sudah pandai nak pakai baju -antek-(cantik). Nak pakai -udung-(tudung), nak pakai -incu-(gincu). Nak pakai -suar gem-(seluar jeans), baju -bunge-(bunga), -ulang-(gelang) dan macam-macam lagi yang dia rasakan cantik. Fitrah wanita, suka pada kecantikan. Masa balik kampung tempoh hari, tok ayah Fina kata 'jangot cucu tok ayah'. Kira normal lah tu tok ayah, sebab Fina kan anak dara. Mestilah jangot sokmo. Hi2.
 
2 minggu ini Fina gelar dirinya -kami-. Selalunya dia cakap -ina-. Sekarang dia cakap kami pula. Contoh ayat : mama, kami nak ini!. Tak tahulah mana dia belajar, rasanya kat taska ada kawan dia cakap macamtu, itu yang dia ikut agaknya. Bila saya suruh sesuatu, dia akan jawab 'saye mama' (saya mama).Bila saya nyanyikan lagu untuk Fiqah, "Fiqah budak baik, mama sayang dia", Fina pun akan tanya, 'apa ina tak baik mama?'. Maksudnya dia nak juga saya nyanyikan panggil nama dia 'Fina budak baik, mama sayang dia'. Alahai, dan paling utama yang perlu diupdate, Fina sudah terkena jangkitan kutu. Memang tak perasan langsung, itupun masa teacher Fina sikat rambutnya di taska, jatuh 4 ekor kutu, barulah tau Fina kena kutu. Minggu ini operasi meracun kutu-kutu Fina. Ubat dah beli semalam. Jangkitan rasanya masa balik raya di kampung tempoh hari. Suspek utama, biarlah rahsia. Teringat pula arwah mak yang pernah carikan kutu saya masa saya sekolah rendah. Sampai naik lenguh menunduk kepala. Diletaknya ubat kutu kat kepala, tutup dengan plastik satu malam biar kutu-kutu tu mati. Zaman dulu, duduk kat kampung memang cepat kena jangkitan kutu. Sebab masa itu, pergi sekolah tak pakai tudung. Masa perhimpunan tengah panas, kadang-kadang menjelir keluar kutu kat kepala kawan-kawan yang ada sebab kutu tu rasa panas. Sekarang ini sahaja, budak-budak bandar memang jarang kena. Jadi operasi perlu dilakukan untuk mengelakkan mamanya pula diserang kutu. Fina, fina, macam-macam ado Fina ni. 

Kongsi gambar Fina berbaju raya untuk tahun ini.
 
Bergaun, Fina cakap, macam-antin-(pengantin)

 
Berbaju kurung dan bertudung.

 
Ini bergaun maxi dipadankan dengan rantai dan gelang di kampung. Habis tasbih atuk dipakainya.
 
 
Fiqah pula, malaslah nak layan akak Fina. Baik tidur sahaja. Apa yang mama pakaikan, itu yang Fiqah suka. Tak ada pilihan. Yang penting perut kenyang kan. Tunggu bila Fiqah dah besar, Fiqah pun akan ikut akak Fina.


Rasa nyawa saya melayang bila ingatkan peristiwa minggu lepas dengan Fiqah. Biarlah ia menjadi kenangan yang menginsafkan saya. Moga Allah memberi saya kesempatan untuk melihat anak-anak saya membesar. Namun sekiranya dugaan itu telah tertulis untuk saya, tentunya saya redha. Baru saya faham hati seorang ibu. Anak adalah segala-galanya, dan mengingatkan saya bahawa tiada yang perlu kita sayangi di dunia ini melebihi daripada cinta kita kepada-Nya kerana Dia yang mencipta kita, dan Dia tempat kita dikembalikan.

Sabar itu indah...
Marah itu mudah....
 


04 September 2012

4 September

Alhamdulillah, diberi kesempatan, peluang dan nafas untuk meneruskan perjalanan kehidupan di muka bumi ciptaan Allah. Hari ini genap usia saya 30 tahun. Tiada harapan yang tidak mampu dilaksanakan untuk diminta, cumanya memohon agar dikurniakan kesihatan, kebahagiaan dan menjadi seorang insan yang bertambah baik dari hari ke hari. Sebagai seorang isteri, mama, adik, akak, anak, menantu, ipar dan sahabat yang mampu berbakti dan berbuat kebaikan. Disenangi bila berdekatan dan diingati bila kejauhan. Mudahan kehidupan saya sekeluarga diberkati dan dirahmati oleh Allah.


 

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails