28 January 2015

Masuk minggu ketiga persekolahan Fina yang memasuki Darjah 1.
Buku semua dah dapat, termasuk buku teks dan buku aktiviti. Untuk Sekolah Kebangsaan, minggu depan baru mula belajar sepenuhnya ikut jadual waktu yang diberi. Bagi KAFA, dah mula belajar sejak minggu pertama persekolahan. Kerja saya setiap malam ialah memeriksa Jadual Waktu dan susun buku yang perlu dibawa Fina untuk ke sekolah keesokan harinya.

Kali ini nak update perihal Fina di awal alam persekolahannya.
  • Kasut cepat kotor. Hari Isnin dah kotor. Pagi bersih, petang jemput dari KAFA dah kotor. Bukan sikit-sikit, habis satu kasut ada kesan tanah. Tukar 2 pasang seminggu bagi mengatasi kotor tu nampak ketara. Untunglah anak-anak yang sekolah boleh pakai kasut hitam. Kurang aktiviti menyental kasut. 
  • Baju pun sama. Balik sekolah ada kesan kotor kat baju dan tudung. Kadang-kadang bila saya ambil masa balik petang, dengan kain lipat tepi dah kedepan, tudung pun pakai senget.
  • Membeli belah. Baru 2 minggu bersekolah dah pandai berbelanja di koperasi sekolah. Minggu pertama, Fina beli sticker gambar kucing. Minggu kedua, beli pemadam. Masuk minggu ini Isnin beli calling card dan sticker doeramon, semalam beli calling card lagi dan keychain frozen. Semua jual seringgit katanya. Saya rasa Fina tengah teruja bila boleh beli barang sendiri. Jadi hari-hari dia akan beli sesuka hati tanpa dipantau. Hari ini saya pesan, tak perlu beli lagi di koperasi sekolah. Duit itu gunakan untuk beli makanan. Kadang-kadang duit untuk belanja sekolah KAFA habis dia  belanjakan untuk beli barang di koperasi waktu pagi.  Padahal kalau tengok, barang-barang yang dia beli tu bukan dia guna atau pandai nak simpan. Ini dah kes membazir namanya. Jadi minggu ini saya akan jalankan operasi memantau. Pembelajaran membeli sendiri telah berjaya, sekarang mulakan pembelajaran berjimat cermat. Saya bukan apa, risau dia beli barang-barang tu sampai tak cukup duit nak beli makanan time rehat. 
  • Tak ingat ~ bila saya pesan minta beri borang pada Cikgu kelas, baliknya ada lagi borang tu dalam beg. Kebergantungan pada mama masih tinggi. Yelah, kecil lagi. Kena pesan banyak kali baru dia akan buat. Ini masih dalam proses pembelajaran, mengingati pesanan dan arahan.


20 January 2015

Pagi ini

Pagi ini di rumah :
Fina : Saya tak nak bawa bekal nasi goreng (nampak nasi goreng atas meja makan).
Mama : Itu bukan nasi goreng kakak, itu mama nak bawa pergi ofis.
Fina : Ooo, ingatkan saya punya tadi.

Kesimpulan : Dah tau beli makanan sendiri di kantin.
******************************

Pagi ini di sekolah Fina :
Mama : Hari ini mama hantar sampai dalam tau. Esok kakak pergi sekolah sendiri. Mama hantar kat pagar  sahaja.
Fina : Mama tak payah lah hantar Fina kat dalam. Fina nak pergi sendiri-sendiri.

Kesimpulan : Telah pandai berdikari di minggu kedua persekolahan.
******************************

Pagi ini di sekolah Fina : 
Murid (girl) : Cikgu, mana kelas 1 Murni.
Mama : Kelas warna apa.
Murid : Warna kuning.
Mama : Cuba cari kat belah sana.
Selang berapa saat, murid tersebut mendekati saya semula.
Murid : Tak jumpa.
Mama : Mari acik tunjukkan. 
Carilah kelas 1 Murni kat mana dan minta murid tu beratur kat kelas dia.
******************************

Pagi ini di sekolah Fina:
Murid dalam barisan :  Cikgu-cikgu, ada ulat kat sini.
Mama :  Buang ulat tu ye.
Murid (girl) : Cikgu, ada ulat kat tudung. (datang dekat saya sambil sengetkan kepala. memang ada ulat daun hijau yang kecil tu tepi tudung dia)
Mama : Ok, nanti acik buangkan.( Sambil jentik ulat tu dari tudung)

Kesimpulan :  Mama saya ada rupa macam Cikgu sekolah?? Ha2. Kanak-kanak, tutur katanya amatlah jujur dan sangat ikhlas.
**********************************

19 January 2015

Fina Darjah 1

Tanggal 12 Januari 2015, permulaan peralihan sekolah Fina daripada belajar di Taska ofis mama ke Darjah 1 di Sekolah Kebangsaan. Jauh di sudut hati saya, emosional berat hati nak lepaskan Fina. Sebab rasa tiba-tiba jer Fina kena masuk darjah 1 memandangkan tarikh dia lahir 1 Januari 2009. Tapi abang cakap, kanak-kanak mudah menerima ilmu. Jadi tak perlu risau sebab dengan izin Allah, Fina akan dapat sesuaikan diri dengan sesi pembelajaran yang baru.
Disebabkan tak datang orientasi tempoh hari, Fina belum ada kelas lagi pada hari pertama. Ada ujian mewarna dan menulis terlebih dahulu. Adalah lebih kurang 12-13 orang yang belum ada kelas. Saya tunggu sehingga waktu rehat untuk uruskan pada yang patut. Buku dan keperluan sekolah, dah beli minggu sebelumnya. Untuk bulan ini, Cikgu hanya suruh bawa buku tulis garis merah dan buku tulis garis satu sebab selama sebulan pelajar tidak akan diajar subjek matapelajaran sepenuhnya.


Fina hari pertama bersekolah.

Rehatnya Fina beli minuman sendiri. Makanan, saya dah belikan terlebih dahulu. Fina belum dapat kelas dan duduk di dewan sahaja.





Tengahari dapat Bantuan Pelajar sebanyak RM100. Siapkan Fina di rumah kaklong dan hantar ke Sekolah Integrasi KAFA pula. Fina kami hantar ke sekolah berdekatan rumah kaklong kerana tengahari minta tolong kaklong untuk uruskan Fina. Lagipun Kak Ya dan Anya (anak buah saya) bersekolah di sana. Jadi Fina ada kawan untuk ke sekolah. Sekolah KAFA, Fina dan Kak Ya satu kelas - 1 Omar. Sesi pagi, Fina dapat kelas 1 Gigih.

KAFA - dengan Kak Ya
Tahun baru dengan jadual yang baru. Jadual baru untuk uruskan anak bersekolah darjah satu.


Pagi ~ hantar Fina ke Sekolah Kebangsaan sampai sekolah jam 7 pagi.
Tengahari ~ kaklong ambil Fina, Kak Ya & Anya balik rumah kaklong.
2.30 petang ~ kaklong hantarkan Fina dan Kak Ya ke KAFA.
5.45 petang ~ saya atau abang ambil Fina daripada KAFA.
                                      6.35-6.45 petang ~ sampai Semenyih.

16 January 2015

Fittriah 9 bulan


Saya baru tumbuh 1 batang gigi belah bawah di usia saya 9 bulan 2 minggu.
Berat saya 7.3 kg sahaja. Mama cakap saya lah yang paling kecil daripada saiz-saiz badan akak saya time diaorang baby dulu-dulu.
Saya kurang menangis dah sekarang sebab saya dah pandai main sendiri.
Tapi bila mood saya nak nangis, saya akan nangis aje bila mama tak duduk dekat saya.
Kalau boleh saya nak mama selalu di sisi saya.
Pagi-pagi baba hantar saya ke taska.
Kalau boleh, saya nak ikut mama dan baba. Kesian saya kena tinggal. Tertunggu-tunggu waktu petang untuk jumpa mama dan baba semula.
Saya suka ngunyah. Biskut atau keropok saya suka.
Saya suka main-main dengan akak Fina dan Fiqah. Mereka suka layan saya. 
Insyaallah, mama dan baba nak buat akikah saya bulan dua masa moknik nak kawin nanti. 
Doakan saya membesar dengan sihat!

Cuti-cuti di Langkawi

Selamat Tahun Baru 2015! Rupanya dah masuk pertengahan Januari 2015,  terasa cepatnya masa berlalu. Sebelum masa terus berlalu pergi, mama ucapkan Happy Birthday Fina yang ke -6 @ 7 tahun pada 1 Januari 2015 yang lalu. Minggu ini saya sibuk menguruskan Fina yang telah memasuki darjah satu secara tiba-tiba. Mujur sekolah buka lambat bagi sesi tahun ini. Entry sekolah darjah satu dalam edisi yang lain pula. 

Kali ini sempena birthday Fina, saya sekeluarga bercuti di Langkawi. Percutian selama 3 hari 2 malam. Al-kisahnya booking tiket Air Asia masa Fittriah dalam perut lagi. Berhajat nak bawa ayah yang nak merasa naik flight. Teringat masa dah booking tiket tu, ayah cakap ntah panjang lagi tak umur ayah nak pergi tu. Alhamdulillah, sampai juga waktu yang ditunggu dan percutian kami sekeluarga berjalan lancar.

Makam dan Perkampungan Mahsuri

Hari pertama - 1 Januari 2015
Bertolak naik ERL dari Putrajaya ke KLIA 2.
Sampai ke Langkawi jam 3 petang
Homestay di kawasan tepi sawah padi- Ulu Melaka Langkawi. Sangat selesa dan terasa bagai di rumah sendiri. Harga yang berpatutan - pakej homestay + sewa Toyota Avanza. Boleh contact Kak Ani Homestay.
Petangnya ke Makam Mahsuri. Bayaran masuk RM10 dewasa. Kanak-kanak RM3. 
Selepas itu bawa Fina, Fiqah dan Fittriah main pasir di tepi kawasan Pantai Chenang.
Malamnya, singgah ke pasar malam Chenang untuk beli juadah makan malam.
Rehat di Homestay.

Kedai Minyak Gamat Warisan Herbanika
Hari kedua - 2 Januari 2015
Pagi bergerak ke Langkawi SkyCab. Dalam perjalanan terjumpa Kilang Minyak Gamat Warisan Herbanika. 
Singgah dan shopping minyak gamat. Kalau nak tau, trademark kat Kilang ini ialah depannya ada botol minyak gamat yang besar. Kawah isi minyak gamat boleh dicelup sebab tak panas. Sila lihat gambar ayah saya yang celup kawah berisi minyak gamat yang tengah dimasak dengan unggun kayu api. Magic kan!

Dataran Helang
Singgah pula ke Dataran Helang. Tempat wajib jika melawat Langkawi.  Dataran ini berdekatan dengan Jeti.

Kereta Kabel Langkawi dan Oriental Village
Sampai ke Langkawi Skycab lebih kurang jam 10 pagi. Sebelum sampai ke tempat beli tiket Skycab ini, kita akan melalui kawasan Oriental Village yang ada menjual barangan cenderahati dan ada juga kereta kuda, kolam ikan serta mainan air untuk pengunjung. Beratur untuk naik kedalam kereta kabel lebih kurang 1 jam. Pengunjung memang ramai, lebih-lebih lagi pada hari cuti umum. Sebelum naik, pengunjung akan dibawa menonton tayangan 3D. Kalau ke Langkawi, harus naik kereta kabel ini. Pengalaman yang manis dan berlainan sekali rasanya.

Kompleks Haji Ismail Group
Petangnya ke Idaman Suri, memandangkan hari Jumaat, Idaman Suri tutup. Jadi kami ke Kompleks Haji Ismail Group. Tempat shopping yang menjual barangan pinggan mangkuk, coklat, beg dan macam-macam lagi. Semuanya harga bebas cukai. Sebab saya nak survey dulu harga, jadi kami cuci mata sahaja. Esok baru shopping setelah pergi Idaman Suri terlebih dahulu. Malamnya, ronda-ronda di kawasan Jeti Kuah dan Pusat Membeli belah Langkasuka kalau tak silap namanya.


Hari Ketiga - 3 Januari 2015
Paginya selepas sarapan, kami ronda di kawasan Telaga Hangat, Langkawi Kraf dan Pantai Pasir Hitam. Idaman Suri buka seawal jam 9.30 pagi. Shopping dahulu apa yang patut untuk dibawa pulang. Selepas itu, ke Kompleks Haji Ismail Group semula. Di Idaman Suri hanya barangan dapur sahaja yang banyak. Coklat boleh beli di HIG sebab kat sini tak ada dijual. 
Tengahari balik untuk kemas barang untuk check-out. Sebelum ke airport kami ronda di kawasan Beras Terbakar dan singgah di belakang airport untuk cuba Laksa Power di area tepi pantai.

Langkawi International Airport  ~ Fina & Fiqah jadi model Burung Helang.

Sampai di KLIA 2 jam 7 malam. Settle ambil luggage lebih kurang jam 8 malam. Tunggu ERL dan sampai di Putrajaya jam 8.40 malam. Singgah pula makan nasi arab di Bangi. Tamat percutian di Langkawi. Insyaallah, next time ada rezeki kami akan kesini lagi. Mungkin time tu 3F dah besar.


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails