Resepi makanan Farha (6-9 bulan)

Farha diperkenalkan makanan pejal pada usianya 6 bulan.  Farha mudah menyesuaikan diri dengan menu baru dan tidak memilih makanan. Senang sangat ajar dia makan. Cuma ada pengalaman saya beri Farha bubur nasi campur dengan serbuk ikan bilis, Farha jadi muntah-muntah. Selepas itu saya tidak berani letakkan ikan bilis dalam makanan Farha. 

Setiap pagi saya akan menyediakan bekalan Farha di Taska. Selalunya 2 menu iaitu buah dan bubur. Untuk menjimatkan masa, saya sediakan dahulu stok buah dan sayur dijadikan puri simpan dalam peti sejuk beku.  Stok beras juga saya bekukan dalam bentuk kiub dan cara ini menjadikan bubur cepat kembang bila dimasak.  Tempoh penyediaan 15 minit sahaja bubur dah siap.

Berikut cara saya buat stok makanan pejal Farha, banyak saya rujuk dalam group RESEPI MAKANAN BAYI di FB.

i) Beras sejukbeku

Saya guna beras Sumo. Basuh beras hingga bersih dan masukkan 3/4 dalam bekas kiub dan selebihnya masukkan air. Simpan dalam peti sejuk beku. Bila nak masak bubur, guna 1 kiub mengikut kuantiti bubur yang dikehendaki. 

ii) Puri buah

Saya gunakan buah pir dan epal. Kupas kulit, kukuskan dan kisar hingga halus.  Bagi buah naga dan mangga, tidak perlu kukus. Kisar dan simpan dalam bekas kiub. Bagi buah pisang dan betik, hanya leyekkan buah dan bagi pada bayi.

iii) Puri sayur

Kentang, labu, keledek , jagung boleh kukus atau rebus hingga empuk dan kisar hingga halus. 

iv) Mirepox

Digunakan sebagai bahan perasa dalam bubur. Guna tomato, karot, bawang putih, bawang merah, batang saderi. Masak semua bahan dengan minyak, selepas sejuk kisar hingga halus. Bila nak masak bubur, boleh masukkan 1 kiub kecil.

v) Stok ayam

Tumis isi ayam dengan sedikit minyak dan bawang putih. Bila dah sejuk kisar hingga halus. Masukkan dalam bekas kiub dan simpan dalam peti sejuk beku.

Dengan penyediaan stok sejukbeku secara awal, ini akan memudahkan dan mempercepatkan penyediaan menu Farha setiap pagi. Selalunya stok sejukbeku saya akan sediakan di hujung minggu.

Stok puri labu, pir dan mangga yang telah siap.

Tutup bekas kiub dan masukkan dalam peti sejukbeku.

Contoh bekas kiub yang saya gunakan seperti dalam gambar. Saya beli dari Kedai DIY dan saiz ini sesuai untuk jumlah hidangan bayi. 

Berikut menu-menu yang telah saya cuba:

Bubur kosong 

Bubur nasi + karot

Bubur nasi + ayam + mirepox

Bubur nasi + labu

Bubur nasi + jagung

Bubur nasi + kentang

Bubur nasi + kentang + ayam

Bubur nasi + sup ikan merah

Puri keledek, puri labu, puri jagung (nyahbeku dan rendam dengan air panas)

Puri buah + oat

Puri buah + serbuk barli

Lempeng pisang

Tip elak sembelit : campurkan bubur dengan sedikit minyak zaitun sebelum beri pada bayi.

Comments

Popular posts from this blog

Petrosains KLCC

Report Card

28 Minggu