Abah
Kesempatan balik ke n9 saya balik juga ke kampung nenek di
Melaka. Menjengah dan menziarahi atuk dan nenek yang semakin uzur dimamah usia.
Saya pun dah memasuki usia 30an, sudah tentulah mereka makin berusia daripada
ayah. Alhamdulillah, dipanjangkan umur mereka melihat cicit-cicit membesar
pula.
Sejak kecil saya panggil nenek sebagai mak, dan atuk pula
sebagai abah. Kali ini saya nak
kongsikan kenangan bersama abah. Dahulu kalau cuti sekolah, saya selalu tinggal
di kampung. Ikut abah naik motor, pergi kedai, pergi rumah moyang di baruh,
jalan-jalan di kampung. Ada satu ketika, semasa dalam perjalanan ke rumah
moyang (mak abah), motor yang abah pandu terbabas di titi kecil depan rumah
moyang. Jatuh kami berdua dalam paya, tenggelam dan timbul semula saya. Nasib
baik tidak ada apa-apa. Tolong cabut uban guna padi, dapat upah 20sen. Pijak
belakang abah. Kalau saya tertidur depan tv, abahlah yang tolong angkatkan
letak atas tilam. Ada satu masa, saya buat-buat tidur, abah angkat, saya
tergelak dan bangun. Betullah kata orang, atuk dan nenek sayangkan cucu lebih
daripada anak. Kalau dengan anak, garang. Jangan harap nak dapat atau minta
apa-apa. Kalau cucu nak, selagi daya, atuk dan nenek belikan.
Abah dah beberapa kali masuk hospital. Sakit kaki, pengsan,
sakit chigukunya. Tapi abah sihat semula, walaupun jalannya agak perlahan
kerana sebelah kaki bengkak. Abah terkenal di kampung sebagai tukang masak lauk
kenduri. Namun balik kali ini, amat tersentuh hati saya melihatkan badan abah
yang semakin kurus. Wajahnya yang makin cengkung. Berjalan dengan bantuan
tongkat, susah untuk bangun. Bekalan ubat sebekas besar untuk ditelannya. Tiada
daya lagi untuk ke surau setiap hari yang dulunya menjadi rutin wajibnya 5
waktu sehari. Kebetulan masa saya di kampung, ada wakil ajk surau yang datang
membawa surat jemputan majlis Israq Mikraj. Terdiam abah tanpa mampu
mengeluarkan kata-kata kerana dia sudah tidak mampu ke surau lagi. Terdetik di
dalam hati saya, rupanya ramadhan tahun lepas, ialah ramadhan terakhir abah
dapat naik motor sendiri ke surau setiap malam. Apalah dayanya lagi dengan
pergerakannya yang makin terbatas sekarang. Menjadikan diri saya teringat lirik
lagu raihan 5 perkara,
ingat lima perkara...
sebelum lima perkara...
sihat sebelum sakit...
muda sebelum tua...
kaya sebelum miskin...
lapang sebelum sempit...
hidup sebelum mati...
sebelum lima perkara...
sihat sebelum sakit...
muda sebelum tua...
kaya sebelum miskin...
lapang sebelum sempit...
hidup sebelum mati...
Waktu nak balik, saya
salam abah, saya kucup pipi abah. Saya berikan apa yang termampu untuk
meringankan beban abah. ‘Abah, ambil ini untuk beli ubat ye’, kata saya. Abah
nak angkat tangannya pun tidak mampu. Berampu tangan kirinya dibawah. ’Terima
kasih lang’..itulah ucapan abah dengan nada yang perlahan. Tertunduk abah
menahan sebak. Sungguh, sangat tersentuh dan bergenang air mata saya. Saya
tidak sanggup menoleh abah, saya tidak mahu abah lihat air mata saya. Agak
beremosi saya pulang ke kampung kali ini. Berjurai air mata di dalam kereta.
Melihatkan keadaan abah yang makin dimamah usia menyedarkan
saya, bahawa inilah kitaran kehidupan dan sesungguhnya semua yang kita miliki
di dunia hanyalah pinjaman dari-Nya. Dikala kita dihujung usia, kita tidak
harapkan harta benda duniawi, cukuplah sekadar kasih sayang dan insan-insan
yang sudi menziarahi dan bertanyakan khabar kita. Itu sudah cukup untuk
membantu memulihkan semangat kita menghadapi hari-hari seterusnya. Percayalah, bukan wang ringgit yang mereka harapkan, cuma jika dapat melihat anak, cucu, cicit itu sudah memadai untuk mengembirakan hati mereka. Kerana kita
semua tidak tahu, bagaimana pengakhiran kehidupan kita sebelum mengadap-Nya dan masih adakah lagi peluang untuk kita melihat mereka tatkala kita masih lagi bernafas di dunia ini.
Comments
Post a Comment