16 April 2021 (Jumaat) Part II

Sambungan kedua:

16 April 2021 (Jumaat)

Perjalanan dari Kajang ke Bangi petang itu agak sibuk. Kereta banyak memandangkan waktu pulang dari kerja dan mengejar waktu berbuka puasa. Sakit perut tidak kerap. Pukul 6 petang saya dan abang sampai di Hospital Islam Az Zarah, Bandar Baru Bangi. Setelah mendaftar, saya ke tingkat tiga untuk pemeriksaan awal saringan CTG dan bukaan jalan.  Lebih kurang 10 minit pemeriksaan, bukaan jalan telah mencapai 5 cm. Jururawat memaklumkan saya dijangka bersalin hari ini dan boleh masuk ke Dewan Bersalin.

Usai tukar pakaian, saya dibawa naik menaiki kerusi roda dan ditolak ke Dewan Bersalin di tingkat 1. Saya diminta untuk ke tandas dan mengambil wuduk untuk persediaan solat Maghrib. Pukul 7 malam saya berada di Dewan Bersalin ditemani oleh abang. Jururawat memantau keadaan saya. Dalam bilik dipasangkan ayat al-Quran. Saya hanya menjamah beberapa biji kurma dan air kosong untuk tenaga semasa bersalin nanti. Azan Maghrib berkumandang jam 7.20 malam. Abang berbuka puasa di sebelah saya di dalam Dewan Bersalin dan sementara saya jamak solat Maghrib dan Isyak secara berbaring. 

Sakit kontraksi makin kerap tetapi terkawal. Saya tidak putus-putus berzikir dan mengusap perut dan bercakap dengan bayi. " Farha, Farha keluar dengan mudah ya, jangan bagi mama sakit lama."  Saya cuba amalkan teknik pernafasan yang dipelajari sepanjang tempoh bersalin. Air ketuban mula keluar banyak sehingga basah alas katil. Saya rasa sejuk dan menggigil-gigil hingga gigi terketar. Abang menyelimut saya sambil memegang tangan saya. Jururawat datang beberapa kali untuk memeriksa CTG dan memasukkan air melalui tiub ke tangan saya. Pukul 10 malam Doktor Noraini memeriksa bukaan jalan. Dah 8 cm. Pukul 10.15 malam, tanda bersalin makin hampir. Doktor Noraini dibantu 3 orang jururawat telah bersedia untuk menyambut bayi saya. Segala kelengkapan telah disediakan dengan teratur sekali. Saya menarik 2 kali nafas panjang dan terus melepaskan tekanan hingga ke perut.

Tepat 10.43 malam, bayi seberat 2.5 kg telah selamat saya lahirkan. Alhamdulillah, syukur kepada Allah. Saya mengalirkan air mata kegembiraan. Tetap sama perasaannya apabila melahirkan tiga puteri sebelum ini. Tangisan kegembiraan dan kesyukuran menyambut kehadiran anak-anak saya. Farha ditunjukkan kepada saya dan terus diletakkan di tempat yang disediakan untuk pemeriksaan selanjutnya. Abang masuk ke Dewan Bersalin dan mengiqamatkan Farha. Mata Farha terbuka. Tergambar kegembiraan di muka baba Farha. Menyambut zuriat tanda kasih sayang kami. Tak terhingga kesyukuran kami kepada Maha Pencipta. Terima kasih Ya Allah.

Sementara itu Doktor Noraini mengeluarkan uri dan menjahit luka bersalin saya. Selesai semua rawatan, saya dibawa ke wad untuk berehat. Abang menemani dan menjaga saya sepanjang malam tersebut. Saya hanya terbaring di katil dan bangun pada jam 6 pagi untuk ke tandas dengan dipapah oleh abang. Terima kasih abang. Moga Allah membalas kebaikan abang pada keluarga kita selama ini. 

Farha dihantar kepada kami pada jam 12 tengah malam. Saya tidak meletakkan Farha di Nurseri hospital kerana saya hendak menyusukan Farha dengan susu ibu. Alhamdulillah, Farha pandai menyusu. 


Bersambung....


Comments

Popular posts from this blog

Petrosains KLCC

Report Card

28 Minggu