Penyusuan Susu Ibu

Minggu ini genap usia Farha 6 bulan. Farha akan memulakan makanan pejal selain daripada bergantung dengan susu ibu. Perjalanan penyusuan kali ini berlangsung dengan baik. Stok susu beku saya simpan mulai Farha berusia 2 bulan dan Farha diajar minum susu menggunakan botol. Alhamdulillah, Farha pandai minum dan tidak memilih puting susu. Saya gunakan botol pigeon dan puting saiz s. Ini sebagai langkah persediaan sebelum saya mula bekerja dan Farha akan tinggal di Taska.

Farha dilatih menggunakan botol susu pada usianya 1 bulan setengah



Jadual latihan ini saya gunakan sebagai panduan saya pada awal minggu saya melatih Farha gunakan botol susu. Ia amat membantu. 



Stok susu beku saya mula simpan pada usia Farha sebulan setengah. Saya gunakan peti sejukbeku agar susu tahan selama 6 bulan. Stok susu beku bermula daripada bulan Mei, Jun dan Julai. Seterusnya setelah saya mula bekerja, saya akan simpan stok susu beku sekiranya ada lebihan. Sepanjang tempoh naik bekerja, jadual kerja saya ikut giliran memandangkan musim PKP. Jadi saya akan menyusukan Farha secara terus jika saya Bekerja Dari Rumah. 

Bekalan susu Farha di taska sebanyak 6 botol sehari 3oz sebotol. Selalunya Farha akan minum 4-5 botol sehari di taska. Jika tidak habis, saya akan bawa stok tersebut untuk keesokan harinya. Bekalan selalunya saya gunakan 4 botol susu segar (perahan di pejabat) dan juga 2 botol susu stok beku.

Formula yang saya jadikan panduan untuk menjayakan penyusuan susu ibu yang bekerja: 

    Susu segar -  Tahan 3-5 hari dalam peti ais 2 pintu.

    Susu beku   -Tahan 3 bulan dalam peti ais 2 pintu

                         Tahan 6 bulan dalam peti ais sejuk beku.

    Susu beku dipanaskan    - Tahan 1 jam dalam suhu bilik. Selepas dipanaskan tidak boleh        dibekukan semula.

Cara untuk menggunakan susu sejuk beku:

Rendam dalam bekas yang diisikan air dan letak semalaman dalam peti ais agar susu cair. Keesokan harinya, tukar bekas plastik ke dalam botol untuk dijadikan bekalan di taska.

Saya gunakan beg yang tahan sejuk dan letakkan dengan pek ais bagi memudahkan pengasuh memberi susu ibu di taska.

Bagi jadual perahan di pejabat pula, saya pam susu sebanyak 2 sesi iaitu waktu pagi jam 10 pagi dan waktu rehat tengahari jam 1 petang. Selepas balik kerja, saya bagi Farha menyusu terus lebih kurang jam 5.40 petang dan jika Farha kenyang, saya akan pam satu sesi untuk tambah stok susu bekalan esok.

Alhamdulillah, susu mencukupi untuk bekalan harian Farha. Tidak meriah hingga penuh satu peti ais tapi yang penting setiap hari bekalan tidak putus untuk mengenyangkan perut Farha. Apabila waktu di rumah dan cuti, saya akan menyusukan terus kepada Farha.

Selain itu, tips yang saya amalkan ialah pastikan waktu malam bayi bangun menyusu bagi mengekalkan pengeluaran susu. Waktu malam hormon lebih banyak bagi merangsang pengeluaran susu dan bayi akan cepat naik berat badan. Farha jenis bayi yang akan bangun sekurang-kurangnya 2 kali menyusu malam. Dia tidak menangis, hanya mengerakkan badan dan secara automatik saya akan tersedar dan memberinya susu. 

Perjalanan penyusuan untuk tahap pertama telah berjaya. 6 bulan penyusuan esklusif susu ibu dan insyaallah saya akan teruskan hingga usia Farha 1 tahun. Perjalanan yang tidak mudah, namun dapat dicapai dengan ilmu, usaha, disiplin dan tidak mudah putus asa. Moga dipermudahkan. Amin.

Comments

Popular posts from this blog

Petrosains KLCC

Report Card

28 Minggu