Awal bulan pertama

 

Farha usia 7 hari

Farha mudah untuk diuruskan waktu awal minggu kelahirannya. Malam Farha akan bangun menyusu  kemudian tidur nyenyak hingga ke pagi. Ada satu malam, Farha tidur lewat pada jam 1 pagi. Yang selainnya, Farha jarang berjaga dan meragam. Hari keempat, tali pusatnya tanggal. Paling cepat antara keempat-empat adik beradiknya yang lain. 

Hari kelima, Jururawat Klinik Kesihatan datang untuk memeriksa kesihatan kami. Farha diminta buat ujian darah di Klinik Kesihatan kerana terdapat tanda awal sakit kuning. Bacaan ujian pertama ialah 15.2. Agak tinggi dan esoknya Doktor minta hadir semula untuk ulang ujian. Bacaan ujian darah seterusnya, naik ke 15.7 dan Doktor minta rujuk ke Hospital Kajang untuk tahan wad. Saya dan abang mengambil keputusan untuk buat ujian sebelah petangnya di Hospital Az-Zahrah dan jika tinggi kami ingin dapatkan rawatan dari sana. Kami tak sampai hati untuk letakkan Farha di wad Hospital Kajang memandangkan musim pendemik Covid-19, agak sukar ibubapa untuk menemani bayi seperti prosedur biasa.

Alhamdulillah, bacaan ujian darah di Hospital Az-Zahrah turun ke 13.2. Doktor di sana, mohon untuk kami pantau Farha di rumah sahaja. Berulang alik dari Klinik Kesihatan ke Hospital Az-Zahrah kemudian kami ke Klinik As-Salam Bangi memandangkan semasa di Klinik Kesihatan bacaan kuning makin tinggi. Doktor buat pula surat kedua untuk rujuk Hospital Kajang. Kami tak pergi juga. Seterusnya hari ke 9 bacaannya turun ke 11. Kami mengambil keputusan untuk sewa lampu di atas Klinik As-Salam Bangi selama 3 hari 2 malam untuk mengurangkan bacaan kuning Farha. 

Farha diletakkan bawah lampu biru.

Alhamdulillah, hari ke 12 bacaan kurang ke 9.5. Doktor minta buat ujian darah pada hari ke-14 sebagai ujian terakhir samaada Farha tergolong sebagai bayi yang pro-long jaundis atau tidak. Bacaan hendaklah kurang daripada 5. Sayangnya, bacaan naik semula ke 9.7. Doktor di Klinik As-Salam buat surat untuk rujuk semula ke Hospital untuk buat ujian darah kerana Farha mengalami pro-long jaundis. 

Kami ke Klinik Kesihatan Kajang semula untuk mendapatkan rawatan susulan. Bacaan kuning Farha hari ke-18 meningkat semula ke 11.7. Doktor minta untuk buat ujian terperinci melalui sampel darah dan air kencing yang akan diuji di makmal bagi mengesan masalah lain berpunca dari hati, tiroid dan sebagainya. Keputusan ujian ini akan diperolehi dalam masa 2 hingga 3 minggu. 4 tabung kecil darah diambil dari tangan Farha yang kecil. Menangis kuat Farha. Tak sampai hati saya sebenarnya, tapi terpaksa mengawal perasaan seorang ibu demi kesihatan anak. Kemudian sampel air kencing diambil. Lebih kurang 2 jam di Klinik Kesihatan, semuanya selesai dan hanya menunggu keputusan ujian. Jururawat memaklumkan, jika ada masalah kesihatan yang diperolehi daripada ujian tersebut, Klinik akan hubungi ibu dan sekiranya semua baik, Klinik tidak akan hubungi semula. 

Alhamdulilah, selepas Raya saya tidak dapat sebarang panggilan telefon daripada pihak Klinik Kesihatan. Bermaksud Farha sihat dan sakit pro-long jaundis Farha telah hilang dengan sendirinya. Farha kuat menyusu dan berat badannya makin bertambah setiap kali pemeriksaan berkala di Klinik Kesihatan. 

Ini pengalaman pertama menguruskan anak saya yang menghadapi pro-long jaundis. Lebih daripada 14 hari dan syukur ianya dapat dilalui dan dipermudahkan urusan kami. Moga Farha membesar dengan sihat.


Comments

Popular posts from this blog

Petrosains KLCC

Report Card

28 Minggu