Memasak

Masuk hari ke 13 Ramadhan, dah pertengahan bulan baru nak cerita bab masak memasak. Taulah bila dah balik rumah, terus masuk dapur buat apa yang patut. Mana nak sempat snap gambar masakan yang terhidang. Setakat ini target memasak di rumah masih diteruskan selagi terdaya. Baru sehari membungkus makanan di kedai. Itupun sebab abang nak belanja Nasi Beriani Anje. Selebihnya saya sedaya upaya untuk memasak sendiri juadah berbuka puasa. Walaupun kena kejar waktu memasak yang lebih kurang ada 1 jam setiap hari, dengan Fiqah yang tak mahu letak, namun saya sangat rasa puas hati dan gembira bila keluarga saya berbuka bersama dan makan masakan yang dimasak dengan air tangan saya sendiri. Lebih-lebih bernasib baik kerana saya ditemukan jodoh dengan abang yang tidak cerewet dengan makanan. Cumanya kena masak makanan yang dia makan, kalau ada makanan yang tidak dimakan, memang confirmlah tak disentuhnya sampai bila-bila.

Bohonglah kalau saya kata saya tidak penat selepas balik bekerja memasak, dengan nak layan kerenah F&F lagi, nak menyediakan bahan-bahan memasak, menghidang dan mencuci apa yang patut. Kalau tak masak berbuka puasa pun, tentunya kena masak untuk bersahur nanti. Jadi lebih baik saya masak di petang hari. Bila dah selesai tugas, barulah boleh berehat terus. Dan pernah rasa tak bila memasak dengan ikhlas, kita akan rasa tidak penat serta diberikan kekuatan fizikal untuk memasak dengan lancar. Cuba kita masak dengan rasa bebanan dan merungut. Tentu rasa penat, letih dan juga menambah dosa atas amarah yang tidak dapat dikawal kerana tidak dilakukan dengan ikhlas. Mudah sebenarnya untuk mendapat pahala. Memasak dengan hati ikhlas berniat untuk mengenyangkan suami dan anak-anak, dah dijanjikan Allah ganjaran yang setimpal lebih-lebih lagi ketika berpeluang berada di bulan mulia ini. 

Lagi satu, jika difikirkan kualiti makanan yang dijual di bazar Ramadhan tentunya tidak sama dengan apa yang kita masak di rumah. Kadangkala rasanya amat menghampakan, lebih banyak bahan perasa tambahan yang digunakan. Nampak sedap, tapi rasanya tidaklah setanding dengan harga yang kadang-kadang tidak munasabah. Ada masanya, makanan mudah basi dan rosak kerana telah dimasak terlalu awal sebelum dijual. Tidaklah semua peniaga begitu, tapi inilah yang berlaku berdasarkan pengalaman sendiri. Bukanlah saya tidak membeli langsung di bazar ramadhan, ada juga abang beli kuih muih ataupun air. Menu utama sahaja yang saya akan sediakan. Setakat memasak nasi dan lauk untuk berbuka, insyaallah saya akan buat selagi termampu. Biarlah saya masak simple dirumah, janji sedap untuk dimakan oleh keluarga saya dan yang paling penting ia dapat mengeratkan hubungan kami.

 
Menu semalam, lala masak lemak cili padi, ikan bawal putih goreng dan cendawan tumis air.
Menu tambahan, murtabak dan air cendol. Serta petai dan budu menambah selera abang.


Jadual agak penuh di hujung minggu. Minggu sebelumnya berbuka puasa di kampung, minggu lepas berbuka puasa bersama jiran-jiran setaman, Ahadnya berbuka puasa di rumah akak ipar di Setapak. Minggu ini pula berbuka puasa di rumah bos dan insyaallah, Sabtu ini ahli keluarga saya berkumpul untuk berbuka puasa di rumah saya.

Fiqah peneman setia ketika berbuka puasa. Apa orang makan, dia pun sibuk nak makan. Fina pula kadang-kadang makan banyak, kadang-kadang sibuk tengok cerita Upin Ipin kat tv9. Dan tentunya makan di rumah lebih luar biasa kenyangnya kerana kita makan dengan rasa kasih sayang.

Comments

Popular posts from this blog

Petrosains KLCC

Report Card

28 Minggu