Ceramah Ustaz

Sedikit ilmu yang saya perolehi dari ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Mohd. Fauzi (Perunding Motivasi Bebas/duta produk Jus Tok Guru) pada Isnin lalu bertempat di pejabat saya.
  • Allah membuka pintu syurga dan menutup pintu neraka di bulan yang mulia ini. Kebaikan yang dibuat akan digandakan pada bulan Ramadhan. Allah Maha Pengasih, jika hamba-Nya membuat kebaikan, ganjarannya akan digandakan, manakala jika membuat dosa, Allah tidak gandakan dosanya itu.
  • Dugaan dan rintangan berpuasa bagi umat zaman sekarang adalah tidak sehebat zaman Rasulullah dahulu. Sewaktu Peperangan Badar (17 Ramadhan), para pejuang berperang untuk meninggikan syariat Islam dan menentang golongan kuffar. Cabarannya tidak sehebat kita yang berkerja tanpa mengeluarkan peluh, duduk dalam pejabat yang berhawa dingin dan menjalankan kerja-kerja yang tidak terlalu berat.
  • Jangan jadikan puasa sebagai alasan untuk kita menjadi seorang yang malas bekerja. Kerja merupakan satu ibadah dan tanggungjawab. Pastikan mendapat keberkatan dalam setiap gaji yang kita perolehi. Kita akan dipersoalkan di akhirat kelak tentang - usia muda dimana kita habiskan, rezeki kita dari mana sumbernya dan paling penting ialah keberkatan. Mencari setiap keberkatan dalam pekerjaan yang kita lakukan.
  • Bulan Ramadhan bukannya pesta makanan. Mengapa pada bulan Ramadhan terdapatnya BAZAR RAMADHAN tetapi tidak terdapat bazar untuk bulan Islam yang lain seperti Bazar Rejab ke, Bazar Syaaban ke. Padahal Ramadhan hanyalah satu bulan dari bulan-bulan yang lain (boleh makan). Seharusnya kita makan mengikut keperluan dan tidak mengikut nafsu.
  • Syaitan dirantai pada bulan Ramadhan. Sebenarnya yang merantai godaan syaitan itu adalah terletak dalam diri kita sendiri iaitu dengan cara mengawal nafsu. Tidak melakukan pembaziran dan melakukan perkara-perkara yang menjurus kepada kebaikan. Saya juga tertarik dengan topik yang ustaz Fauzi sentuh mengenai kusyuk dalam solat, sekiranya kita tidak kusyuk dalam solat, misalnya solat Zuhor 4 rakaat, 2 rakaat sahaja kita kusyuk, lagi 2 tidak, maka Allah hanya menerima 2 rakaat yang kusyuk sahaja manakala selebihnya lagi 2 rakaat Allah akan minta malaikat 'top up' dengan solat-solat sunat yang kita lakukan. Bayangkan jika kita tidak melakukan solat-solat sunat, nak 'top up' dengan amalan yang lain? Banyakkah amalan sunat yang kita amalkan?

Yang baik jadikan pengajaran dan juga peringatan terhadap diri saya sendiri. Berpuasa bukanlah satu alasan untuk kita tidak menjalankan tanggungjawab kita sebagai hamba-Nya. Ustaz juga beritahu, ada orang yang hanya berpuasa, tetapi tidak solat walhal solat merupakan amalan penting yang akan dihitung di Akhirat kelak. Seharusnya kita berpegang teguh pada rukun Islam yang 5. Mudahan puasa kita pada tahun ini merupakan ibadah yang diberi rahmat dan keberkatan oleh Allah. Kita tidak tahu jika umur kita panjang atau tidak untuk menerima kedatangan Ramadhan akan datang.

"Sesungguhnya solat ku, ibadat ku, hidup ku dan mati ku kerana Allah SWT."

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Petrosains KLCC

Report Card

28 Minggu