Bersalin Part III

25 Disember 2011 (Ahad)

Melepasi jam 10 pagi, tiada tanda-tanda yang menunjukkan saya ingin bersalin lagi. Jadi Doktor ambil keputusan untuk masukkan ubat induce. Doktor cakap, masuk 1 biji dahulu, sekiranya tiada gesaan, akan dimasukkan sebiji lagi dan seterusnya. Air dimasukkan melalui tangan saya memandangkan air ketuban saya telah pecah malam sebelumnya.

Saya hanya berehat dan sampai tengahari, saya menikmati makan tengahari yang disediakan oleh hospital. Nak kumpul tenaga di dewan bersalin nanti, kena makan walaupun sedikit. Itu yang saya pelajari melalui pengalaman melahirkan Fina dahulu. Keletihan kerana tiada selera makan disebabkan sakit yang lama sebelum ke hospital. Jadi kali ini, saya pastikan saya alas perut secukupnya.

Abang dan Fina berada di sini menemani saya. Tepat jam 1 petang, kontraksi bermula. Sakit selang 30 minit dan makin lama makin cepat. Saya panggil nurse untuk check bukaan jalan. Katanya baru 2 cm. Abang duduk disisi saya, menenangkan saya ketika sakit kontraksi memuncak. Habis langsir di tepi katil saya tarik untuk menahan sakit. Memang sakit yang teramat sangat!

Lebih kurang jam 4 petang, saya tidak mampu bertahan. Keluar air mata menahan sakit kontraksi yang kian kerap. Minta nurse check jalan, katanya bukaan baru 3 cm. Alahai, rasa macam dah buka banyak, masih perlahan bukaan pintu rahim saya. Pil Salindah saya makan 15 minit sekali manakala air akar fatimah, air zamzam saya minum untuk menghilangkan dahaga. Terasa sejuk seluruh  badan. Saya pakai stokin tebal setiap masa. Jam menunjukkan pukul 5 petang. Doktor Anita datang untuk check jalan kerana tahap kontraksi saya yang sangat kerap. Katanya dah 4 cm, dipecahkan air ketuban dan minta nurse beri ubat tahan sakit kepada saya. Katanya, suruh saya bertahan hingga bukaan penuh dan boleh dibawa ke Dewan Bersalin. Setelah dicucuk ubat tahan sakit, saya rasa berat mata dan mengantuk. Sakit kontraksi masih terasa, cuma lebih kurang sakit jika dibandingkan pada waktu sebelumnya. Ayah dan umi tiba, melihat keadaan saya, mereka membawa Fina untuk pulang dahulu kerumah.

Jam 6 petang, saya rasa nak meneran sangat. Selang 2 minit sekali gesaan. Terus abang panggil nurse dan nurse bawa saya ke Dewan Bersalin dengan kerusi roda. Apa yang saya ingat, saya hanya melelapkan mata sepanjang perjalanan ke dewan dan juga semasa berada di dalam dewan tersebut. Rasa kejang dan sakit dari bahagian perut dan paha. Abang setia menemani saya di sana. Saya pegang tangan abang sekuat hati bila sakit kontraksi dirasai.

15 minit berlalu, rasa dah sampai masanya. Nurse check, dan katanya bukaan FULL. Maknanya saya sudah boleh bersalin. Beliau minta nurse lain untuk hubungi Doktor Anita. Saya terus meneran sepenuh tenaga bila sakit memuncak. Dengan seluruh kudrat yang ada, seorang mujahid kecil telah selamat tiba di dunia ini. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Ucapan syukur yang tidak terhingga kepada Maha Pencipta keluar dari mulut saya setelah mendengar tangisan cahaya mata kami.

Doktor Anita tidak sempat menyambut kelahiran bayi kami. Hanya bidan bertugas yang menyambutnya. Tidak mengapalah, yang penting saya dan bayi selamat. Doktor Anita datang menguruskan uri dan menjahit luka epi yang dibuat oleh bidan ketika bersalin tadi.

Abang mengambil bayi kami dan mengiqamatkannya. Sungguh, kenikmatan Allah yang tidak terhingga ialah ketika segala kesakitan ketika melahirkan tadi bagaikan hilang apabila melihat wajah kecil itu.


Selamat datang duhai anakku. Selamat datang wahai mujahid Allah. Moga mama dan baba dapat membesarkanmu, mendidik dan memberikan segala yang terbaik untuk kehidupan mu selepas ini...


TAMAT

Comments

  1. Salam sis..bole tau x berapa kos bersalin masa si comel ni dilahirkn?

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Petrosains KLCC

Report Card

28 Minggu